Bilik makan, ruang tamu musnah dalam kebakaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Sebuah rumah jenis dua tingkat mengalami kerosakan pada bahagian bilik makan dan sebahagian ruang tamu dalam kejadian kebakaran di Kampung Batu Ampar pada 29 April lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini hari ini, seramai 10 orang anggota dari Balai Bomba Pangkalan Batu dan dua orang dari Balai Bomba Jerudong, Cawangan Operasi F, yang diketuai oleh ASO Haji Akup bin Haji Allusin, dikejarkan ke tempat kejadian di Kampung Batu Ampar pada pukul 6:16 petang.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila sampai di tempat kejadian, api besar membakar sebahagian rumah jenis dua tingkat berukuran 15 meter panjang dan 10 meter lebar.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran dan berjaya mengawal api daripada merebak dalam masa dua minit, di mana kebakaran tersebut melibatkan ruang bilik makan dan sebahagian ruang tamu.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku.

Keadaan ruang tamu sebuah rumah setelah anggota bomba dan penyelamat berjaya memadamkan api dalam insiden tersebut. – Gambar serahan JBP