Bilik musnah kebakaran di Kg Bengkurong

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV– Bilik di tingkat atas sebuah rumah diperbuat daripada konkrit dan beratapkan spandek di Kampung Bengkurong telah terbakar dalam kejadian petang kelmarin.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini, 12 orang anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan, Balai Bomba Beribi daripada Cawangan Operasi A telah bergegas ke tempat kejadian, diketuai oleh SO Israqi pada jam 5:02 petang.

Sejurus tiba di tempat kejadian, ahli bomba memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran menggunakan tiga hos jet, dengan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berdekatan.

Api dapat dikawal dalam masa 5 minit dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku. Punca dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyarankan kepada orang ramai supaya sentiasa memastikan bangunan awda dilengkapi dengan peralatan iaitu alat pemadam api ringkas jenis debu kering.

Asap tebal kelihatan menjulang ke udara dari bilik tingkat atas yang terbakar. – Gambar serahan JBP