Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Syarikat J3S Mart Sdn Bhd, sebuah syarikat perdagangan online di Negara Brunei Darussalam, hari ini melancarkan Bilik Pameran Kedai J3S Mart di Kampung Beribi di sini.
Pelancaran bilik pameran itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan J3S Mart, Jeff Goo Jia Jie.
Dalam ucapannya, Jeff Goo berkata, pelancaran itu merupakan sebagai salah satu titik perjalanan Syarikat J3S dan kerjasama serta usaha gigih daripada kakitangan yang mendorong kepada kejayaan itu.
Beliau juga berharap dengan pelancaran bilik pameran itu, orang ramai akan berpuas hati dengan produk yang diketengahkan, di samping dapat membantu merancakkan ekonomi negara ini.
Bilik Pameran J3S Mart bukan sahaja mempamerkan produk-produk yang dijual dari luar negara, bahkan pelanggan juga boleh membeli secara langsung atau mengambil sendiri barangan yang mereka sudah beli secara online.


J3S Mart merupakan sebuah syarikat menjual produk-produk secara online yang terdiri daripada sembilan jenis kategori iaitu pakaian, kasut dan beg, komputer dan telefon, permainan, alat-alat perhiasan dan jam, peralatan sukan dan kecergasan, peralatan auto serta peralatan rumah dan pejabat. Kesemua pembelian boleh digunakan melalui kad debit atau kredit.
Syarikat tersebut juga menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah dengan caj pembayaran tertentu mengikut berat barangan yang dihantar.
“Dengan adanya bilik pameran ini juga, pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk mengambil barangan mereka,” kata seorang kakitangan pemasaran syarikat itu.