Bilik server komputer di bangunan kerajaan terbakar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Sebuah bilik server komputer mengalami kerosakan dalam kejadian kebakaran di sebuah bangunan kerajaan di Jalan Menteri Besar, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, enam orang anggota dari Balai Bomba Berakas, Cawangan Operasi C yang diketuai oleh SO Haji Said bin Haji Metassim dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 9:59 pagi.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila tiba di tempat kejadian, penyiasatan dijalankan pada panel board dan mendapati bilik server komputer di tingkat 1 bangunan berkenaan telah terbakar secara keseluruhan dan mengeluarkan asap tebal.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa dua pasukan dari Team BA Bomba segera bertindak memadam kebakaran itu menggunakan alat pemadam api jenis debu kering dan karbon dioksida serta satu hos dengan air diperoleh dari jentera bomba dan pili-pili bomba.

Api dapat dipadamkan dalam masa dua minit dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan bangunan mereka dilengkapi dengan peralatan alat pemadam api ringkas jenis debu kering 4kg dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, memastikan penyimpanan bahan-bahan yang mudah terbakar ditempatkan ke suatu tempat yang lebih teratur dan tersusun serta sering menjalankan pembersihan di kawasan bekas sisa-sisa bahan berbahaya.

Kerosakan disebabkan oleh kebakaran di sebuah bilik server komputer di bangunan kerajaan di Jalan Menteri Besar kelmarin. – Gambar serahan JBP