Bilik tidur pekerja restoran dijilat api

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Tiga penghuni bertindak pantas memadam kebakaran daripada merebak di sebuah bilik tidur pekerja restoran di kawasan Kampung Sengkurong, malam kelmarin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataannya hari ini menyatakan telah menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kebakaran itu pada jam 8:59 malam dengan mengerahkan tujuh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jerudong yang diketuai oleh Pemangku DSO Saini bin Gapor.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kebakaran melibatkan sebuah bilik tidur pekerja restoran di tingkat satu bangunan jenis dua tingkat telah berjaya dipadamkan oleh tiga penghuni kediaman itu menggunakan dua alat pemadam api jenis air sebelum jentera bomba sampai.

Empat pekerja yang mendiami kediaman itu dilaporkan dalam keadaan selamat dengan punca serta kerugian akibat kebakaran masih disiasat.

JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan bahawa kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api mudah alih jenis ABC ‘Dry Powder’, selimut api dan alat pengesan asap, tidak meninggalkan telefon bimbit yang sedang dicas tanpa pengawasan, mengelak mengecas di atas permukaan seperti tilam, bantal dan bahan mudah terbakar, menggunakan pengecas yang diiktiraf dan mempunyai kualiti keselamatan, memastikan pemasangan pendawaian dan peralatan elektrik di kediaman mereka dilaksanakan oleh pekerja yang bertauliah serta memastikan suis peralatan elektrik ditutup selepas digunakan atau sebelum meninggalkan kediaman.

Orang ramai juga disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan untuk menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Kejadian kebakaran pada bilik tidur pekerja restoran di tingkat satu, bangunan dua tingkat di kawasan Kampung Sengkurong, malam kelmarin. – Gambar serahan JBP