Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Sebuah bilik tidur mengalami kerosakan dalam kejadian kebakaran rumah yang berlaku di Kampung Sibut Jalan Batang Duri, Temburong pada pagi, 11 Februari lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), lima orang anggota bomba dan penyelamat dan sebuah jentera dari Balai Bomba Rataie yang diketuai oleh ABKS 532, Mohd Salleh bin OKM Haji Jair, dikejarkan ke insiden kebakaran bilik tidur di Kampung Sibut Jalan Batang Duri pada pukul 11:40 pagi.
Kenyataan menyatakan bahawa apabila anggota JBP sampai di tempat kejadian, mereka mendapati api telah pun berjaya dipadamkan dari merebak oleh dua orang awam menggunakan air paip sebelum ketibaan pihak bomba. Apabila anggota JBP sampai ke tempat kejadian, mereka diarahkan untuk mengeluarkan satu jet hos 64mm ke 38mm untuk memadamkan bara-bara api di mana kebakaran tersebut melibatkan keseluruhan bilik tidur.
Kejadian berkenaan masih lagi memerlukan siasatan untuk mengenal pasti anggaran kerugian dan menurut laporan JBP juga, tidak ada korban jiwa yang berlaku.
JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering dua kilogram dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas supaya memastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta untuk memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE).