Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bilionair logam India diancam protes rakyat

    Oleh Shakir Husain

     

    NEW DELHI – Sterlite Copper adalah sebuah pengeluar logam terbesar di India dan sebahagian daripada konglomerat Vedanta Resources milik industrialis bilionair, Anil Agarwal.

    Dalam kenyataan menggariskan wawasannya, Sterlite berkata ia mahu menjadi ‘pengeluar tembaga paling disegani di dunia’ menjelang 2020. Bagaimanapun, apa yang berlaku baru-baru ini mungkin menjejaskan wawasan berkenaan.

    Menurut laporan, 13 orang termasuk dua wanita terbunuh apabila polis melepaskan tembakan ke arah ribuan penunjuk perasaan yang membantah rancangan syarikat itu untuk menambah pengeluaran di lojinya di bandar pesisiran pantai, Tuticorin, juga dikenali sebagai Thoothukudi, terletak di negeri selatan, Tamil Nadu.

    Kerajaan negeri mengarahkan siasatan dibuat terhadap insiden polis melepaskan tembakan pada 22 Mei lepas ketika kemarahan memuncak membantah rancangan loji perindustrian itu.

    Menyebabkan kerosakan 

    Penduduk di kawasan berkenaan berkata loji itu mencemari air bawah tanah dan menyebabkan kerosakan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan.

    Penduduk di kawasan berkenaan berkata loji itu mencemari air bawah tanah dan menyebabkan kerosakan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan.

    Loji itu memulakan pengeluaran pada 1997 dan mempunyai kemampuan menghasilkan 400,000 tan tembaga setahun dan rancangan pembesarannya akan menambah dua kali ganda pengeluaran Sterlite bagi menampung permintaan logam di India.

    Vedanta terlibat dalam pelbagai kegiatan seperti penerokaan, pengeluaran dan pemprosesan logam dan perniagaan minyak dan gas.

    Pada tahun kewangan 2017, Vedanta melaporkan pendapatan AS$11.5 bilion.

    Protes yang dilancarkan itu mungkin bukan sahaja menjejaskan rancangan pembesaran lojinya di Tuticorin tetapi juga mencemarkan nama syarikat itu.

    Parti pembangkang Britain, Parti Buruh menggesa Vedanta dikeluarkan daripada senarai Bursa Saham London berikutan pembunuhan penunjuk perasaan di Tamil Nadu.

    “Selepas pembunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan, tindakan perlu diambil. Vedanta mesti dikeluarkan dengan serta-merta daripada Bursa Saham London untuk memulihkan kembali kepercayaan ke atas tata urus Bursa dan menyekat sebarang kerosakan lain terhadap kedudukan akibat tindakan kejam syarikat itu,” demikian kata John McDonnell, canselor kabinet bayangan UK dalam satu kenyataan Jumaat lepas.

    Agarwal, 65, yang disenaraikan di tempat ke-44 dalam senarai orang terkaya di India 2017 dengan kekayaan peribadi AS$3.2 bilion, dilaporkan tahu akan keganasan yang berlaku.

    Dalam perutusan video di laman sesawang syarikat, Agarwal menyifatkan insiden itu sebagai ‘amat malang’ dan melahirkan simpati beliau kepada keluarga mangsa.

    Beliau berkata beliau ‘komited sepenuhnya’ untuk melindungi alam sekitar serta pembangunan masyarakat di Tuticorin dan menegaskan syarikatnya akan mematuhi undang-undang.

    Menurut Pusat Sains dan Alam Sekitar (CSE) berpejabat di Delhi mendakwa loji berkenaan melanggar piawaian alam sekitar.

    “Memandangkan sejarah loji itu, penduduk di kawasan berkenaan ada sebab untuk memprotes cadangan membesarkan loji itu. Loji itu mencemarkan alam sekitar dan melanggar piawaian sejak 20 tahun lepas,” kata ketua pengarah CSE, Sunita Narain.

    Keganasan 

    Presiden Parti Congress, Rahul Gandhi menyifatkan tembakan polis itu sebagai ‘contoh kejam keganasan yang ditaja kerajaan negeri.’

    Aktivis sosial yang terkenal, Swami Agnivesh menggunakan kata-kata yang bernada keras sebagai reaksi beliau terhadap kejadian tembakan itu.

    Protes yang dilancarkan itu bukan sahaja menjejaskan rancangan pembesaran lojinya di Tuticorin tetapi juga mencemarkan nama syarikat itu.

    “Keganasan yang ditaja kerajaan negeri yang dikenakan ke atas penduduk Thoothukudi di Tamil Nadu adalah bab hitam dalam sejarah negeri itu,” kata Anivesh.

    Kecaman yang hebat itu memeranjatkan kerajaan negeri berkenaan yang pada mulanya mempertahankan tindakan polis.

    “Polis terpaksa mengambil tindakan kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan bagi melindungi nyawa orang awam serta harta benda kerana penunjuk perasaan mula berlaku ganas,” kata Ketua Menteri Edappadi K. Palaniswami.

    Kerajaan Tamil Nadu kemudiannya berkata pihaknya akan mengarahkan loji itu ditutup selama-lamanya.

    “Pendirian kerajaan sangat jelas. Ia tidak mahu loji itu meneruskan operasi,” Sandeep Nanduri, pentadbir kanan daerah itu berkata baru-baru ini.

    Tindakan tegas 

    Vedanta dalam kenyataan kepada bursa saham pada 24 Mei berkata Lembaga Kawalan Penceraman Tamil Nadu mengarahkan pemotongan bekalan elektrik serta penutupan Loji Pelebur Tembaga No.1 syarikat itu.

    Katanya loji itu menghentikan pengeluaran sejak 27 Mac.

    Mahkamah Tinggi Madras memberitahu Vedanta ia perlu menghentikan pembinaan loji kedua yang dirancang sehingga permohonan syarikat untuk kelulusan alam sekitar diproses dalam tempoh empat bulan selepas pembentangan umum yang mandatori.

    Syarikat itu mahu menunjukkan ia mematuhi semua keperluan dan menegaskan perniagaannya memberi faedah kepada masyarakat tempatan.

    “Banyak pihak berkepentingan menyebar pelbagai cerita – Sterlite menyebabkan kanser, sebagai contoh. Semua ini salah. Penduduk tempatan ditakutkan dengan pelbagai cerita,” kata P. Ramnath, ketua eksekutif Sterlite Copper, dipetik sebagai berkata dalam laporan media India.

    Ini bukan pertama kali loji Sterlite berdepan dengan protes dan tindakan undang-undang kerana pencemaran.

    Pada 2010, Mahkamah Tinggi Madras mengarahkan penutupannya kerana isu alam sekitar.

    Mahkamah Agung India pada 2013 mendenda Sterlite satu bilion rupee (AS$14.7 juta) kerana pencemaran alam sekitar.

    Protes yang terbaharu ini mungkin mempunyai kesan yang serius kepada Vedanta. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda