KUALA LUMPUR, 8 Ogos – BIMB Investment Management Bhd (BIMB Investment) menyasarkan BIMB ESG Sukuk Fund, dana sukuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pertama di dunia yang baru dilancarkan memperoleh RM150 juta dalam tempoh setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif, Najmuddin Mohd Lutfi berkata dana itu merupakan yang pertama menawarkan langganan dalam ringgit, dolar Amerika Syarikat dan dolar Singapura.
“Sasaran kami adalah mendapatkan syarikat dan individu bagi dana ini pada nisbah 50:50 dan menjangkakan kebanyakan pelaburan dibuat dalam ringgit,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dana itu di sini, hari ini.
Beliau berkata, dana itu mempunyai potensi pengagihan pendapatan tahunan pada lima peratus yang memberi aliran pendapatan stabil serta peningkatan modal. BIMB Investment akan menggunakan hasil sukuk itu untuk melabur dalam sukuk di peringkat tempatan dan antarabangsa, katanya.
“Pelaburan akan dibuat dalam sukuk yang diberi penarafan sekurang-kurangnya A3 atau P1 oleh RAM Ratings bagi sukuk dalam denominasi ringgit, manakala BBB- atau A3 oleh Standard & Poor’s atau penarafan setara oleh agensi penarafan tempatan bagi sukuk bukan dalam denominasi ringgit,” katanya.
Najmuddin berkata, analisis kelestarian bagi setiap syarikat yang menerima pelaburan itu akan dibuat menggunakan sistem penilaian pembelajaran mesin dan teknologi data raya, S-ray, milik Arabesque Asset Management Holding Ltd yang berpangkalan di United Kingdom.
Beliau berkata, ia akan menilai prestasi syarikat mengikut prinsip normatif hak asasi manusia, hak pekerja serta amalan alam sekitar dan anti-korupsi yang digariskan Kesan Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. – Bernama