Bimbang bahan berkurangan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Sejak penularan COVID-19 bermula di Brunei, bekalan bahan asasi terutama bahan membuat kek dan roti terus menjadi perhatian dalam kalangan tukang masak dan pembuat roti, lebih-lebih lagi kebanyakan bahan–bahan berkenaan diimport dari luar negara.

Dalam temu bual media bersama pengguna dan peniaga kek di negara ini, rata-ratanya melahirkan kebimbangan kerana bahan-bahan untuk membuat kek semakin susah untuk diperolehi.

Dayang Maisarah binti Haji Daud, 28, yang mula melibatkan diri dalam perniagaan pembuatan kek sejak tiga tahun lalu setelah menamatkan pengajian di Universiti Brunei Darussalam, menjelaskan bahawa sejak Ramadan lalu, beberapa bekalan pembuatan kek dan roti semakin berkurangan.

“Bukan setakat itu, harga bagi beberapa bahan juga naik dengan alasan peniaga kedai adalah disebabkan bekalan susah untuk masuk ke negara ini.

“Dengan kenaikan harga tersebut, ia menimbulkan kebimbangan peniaga kecil seperti kami dan kenaikan harga tersebut turut mengakibatkan kami terpaksa menaikkan harga bagi setiap produk,” jelasnya.

Rata-rata pengusaha kek menyatakan bahawa bahan-bahan pembuatan kek semakin sukar diperolehi. – Gambar oleh Muiz Matdani

Manakala itu, Hajah Timah binti Haji Said pula menjelaskan, walaupun banyak rak kini telah diisi dengan pelbagai barangan asasi tetapi beliau masih sukar untuk mendapat-
kan bekalan yang dikehendakinya dan perkara ini turut dihadapi oleh beberapa peniaga lain.

Menurutnya, beliau membuat hidangan dengan menggunakan bahan-bahan segar dan disebabkan ia sukar untuk diperolehi, beliau membelinya dalam jumlah yang banyak untuk kekal menghasilkan menu yang digemari oleh keluarga.

Seorang lagi pembuat roti, Dayang Hazimah binti Matdini yang baru belajar membuat kek keju, berdepan kesukaran mendapatkan bekalan krim keju.

“Dalam memenuhi permintaan pelanggan terhadap kek keju pada masa ini, beberapa kedai tidak dapat memberikan bekalan seperti yang diharapkan oleh pengguna,” jelasnya.

Menurutnya, ada juga peniaga yang meletakkan had pembelian kepada setiap pelanggan bagi barangan yang menjadi keperluan pada masa ini dan ini adalah satu inisiatif bagi mengelakkan pembelian de-ngan jumlah yang banyak dalam keadaan masa ini.

Beliau seterusnya berharap supaya kedai dapat mempercepatkan pengisian semula bekalan dan menasihati mereka untuk memastikan ketersediaan yang berterusan dalam memenuhi permintaan.

Bukan bahan untuk membuat kek dan roti sahaja yang berkurangan malah kotak untuk menyimpan kek juga mendapat impak akibat keadaan pada masa ini.