Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 14 OKT – Seramai 95 orang telah menyertai Kursus Fardu Kifayah bagi Pengurusan Jenazah Lelaki dan Perempuan yang diadakan di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kiudang, baru-baru ini, dengan matlamat untuk memberikan bimbingan dan pendekatan yang jelas mengenai pengurusan jenazah secara tertib dan sempurna.
Para peserta kursus kali kedua berkenaan terdiri daripada 44 orang peserta lelaki dan 51 peserta perempuan, termasuk ahli jawatankuasa takmir masjid dan Muslimah serta sebahagian penduduk di sekitar Mukim Kiudang.
Kursus yang meliputi cara-cara betul menguruskan jenazah yang lebih akmal (lebih sempurna) dari segi cara memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah serta bengkel cara pembuatan keranda itu telah ditunjuk ajar oleh lima orang tenaga pengajar yang berkemahiran dalam hal ehwal pengurusan jenazah.
Bagi peserta lelaki, tenaga pengajar terdiri daripada Haji Masri bin Haji Mohammad, Haji Mohd Aidil Sofian bin Mohd Yasin dan Haji Burhanuddin bin Haji Awang Damit, manakala itu, tenaga pengajar bagi peserta perempuan pula ialah Dayang Sariah binti Haji Mohd Daud dan Dayang Nurzaidah binti Abdullah Dawat.
Sementara itu, Pengiran Haji Wahab bin Pengiran Haji Yussop dan Haji Abdul Manan bin Haji Raup pula menunjuk cara pembuatan keranda.
Kursus juga bertujuan untuk menggalakkan percambahan ilmu dalam kalangan para peserta dan memenuhi tuntutan sebagai salah satu kewajipan fardu kifayah yang tepat dan seiring dengan syariat Islam dalam menjalankan kehidupan seharian, sekali gus mendidik diri dan jiwa untuk sentiasa ingat akan hari kematian.