Friday, December 1, 2023
24.9 C
Brunei

    -

    BIMP-EAGA pergiat kerjasama ekonomi

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Rokiah Mahmud

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Kesan pandemik COVID-19 telah menjejaskan rantaian bekalan global dan mewujudkan norma baharu yang perlu disesuaikan oleh setiap individu.

    Selain daripada itu, seluruh dunia termasuk rantau BIMP-EAGA sedang menghadapi krisis lain seperti inflasi global dan penurunan kesan globalisasi dunia. Ini mengukuhkan lagi keperluan BIMP-EAGA untuk mempergiatkan usaha-usaha dalam kerjasama ekonomi di kalangan negara ahli.

    Perkara berkenaan ditekankan oleh Pengarah Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Allen On dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana BIMP-EAGA (BIMP-EAGA SMED WG) ke-9 yang berlangsung di Hotel Radisson, di sini hari ini.

    Beliau berkata, salah satu aspek utama dalam memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjadi lebih berdaya tahan dalam mengharungi cabaran COVID-19 adalah melalui penggunaan dan transformasi digital oleh semua, termasuk PMKS.

    Selaras dengan ini, pemimpin-pemimpin ASEAN juga telah komited dengan menyokong pelan hala tuju Bandar Seri Begawan: Agenda Transformasi Digital Asean untuk mempercepatkan Pemulihan Ekonomi.

    Allen Onn semasa menyampaikan ucapan pada mesyuarat tersebut.
    Antara peserta yang menghadiri mesyuarat BIMP-EAGA SMED WG ke-9 yang berlangsung di Hotel Radisson, kelmarin.

    Pelan hala tuju itu telah mengenai pasti inisiatif keutamaan yang perlu diguna pakai oleh pelbagai badan sektor ke arah pembangunan ekonomi digital ASEAN sebagai tindak balas kepada permintaan revolusi perindustrian keempat yang berubah pesat, untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta menambah baik kepelbagaian dan daya saing PKS di rantau ASEAN.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, mesyuarat berkenaan telah mengambil maklum pembentangan yang disampaikan oleh Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC) mewakili sektor swasta rantau BIMP-EAGA, yang antara lainnya melaporkan isu dan kebimbangan yang dihadapi oleh PMKS serta cadangan inisiatif dan projek baharu yang akan diterajui oleh pihak BEBC.

    Mesyuarat telah menilai dan membincangkan tindakan lanjut berhubung projek-projek Rolling Pipeline 2 khususnya di bawah Strategic Priority 3: Increased Participation of SMEs in the Corridor Supply/Value Chain, dan Strategic Priority 4: Improved Joint Public – Private Sector Trade and Investment Promotion Initiatives.

    Selain itu, mesyuarat turut membincangkan projek baharu mengenai BIMP-EAGA Mission on Innovation and SMEs Start-ups dengan kerjasama Republik Korea.

    Mesyuarat dua hari berkenaan diakhiri dengan lawatan ke Daerah Temburong di mana delegasi berpeluang melawat Pekan Bangar dan pergi ke Rumah Panjang Kampung Sibut untuk melihat beberapa perkhidmatan dan produk ekopelancongan di bawah Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sibut dan pada sebelah petang lawatan diteruskan ke iCentre dan Kontena Park di bawah Darussalam Enterprise (DARe).

    Mesyuarat tersebut juga dihadiri oleh wakil daripada agensi-agensi fokal pembangunan perusahaan kecil dan sederhana dari negara-negara ahli BIMP-EAGA, BIMP-EAGA Facilitation Centre (BIMP-FC) dan Pengerusi BEBC, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman.

    Manakala itu, mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Pembangunan dan Dokongan Perniagaan, DARe, Dayang Norlela binti Suhailee.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Reaktor gabungan nuklear eksperimen Jepun dirasmikan

    TOKYO, 1 DIS - Reaktor gabungan nuklear eksperimen terbesar di dunia yang sedang beroperasi dirasmikan di Jepun hari ini, sebuah teknologi pada peringkat awal...