Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    BIMP-EAGA sasar tingkat daya saing pelabuhan

    KOTA KINABALU, 13 JULAI – Lebih 20 pemimpin industri akan berkumpul dalam satu persidangan di Sabah pada bulan depan untuk mengupas potensi pasaran, ekonomi, perdagangan serta inovasi dalam lingkungan pelabuhan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (EAGA) bagi meningkatkan daya saing ekonomi.

    Pameran dan Persidangan EAGA Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) 2022 akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos dengan dihoskan oleh Lembaga Pelabuhan Sabah dan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB). Pengarah Urusan SPSB, Datuk Ng Kiat Min berkata ia merupakan acara kemuncak utama bagi kalangan komuniti BIMP-EAGA.

    “Acara itu juga amat dinanti-nantikan oleh mereka yang mengikuti perkembangan pasaran BIMP-EAGA,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini. Pameran dan persidangan mengenai pelabuhan, perkapalan dan logistik yang mengangkat tema ‘BIMP-EAGA: Laluan ke R.I.S.E’ (Berdaya Tahan, Inklusif, Mampan dan Berdaya Saing Secara Ekonomi) disokong oleh majlis perniagaan BIMP-EAGA dan dianjurkan bersama oleh Transport Events Management Sdn Bhd serta Institut Logistik dan Pengangkutan Berkanun Malaysia.

    Tujuh sesi dirangka dan akan merangkumi bidang berkaitan dengan peluang pelaburan, strategi transformasi pelabuhan EAGA, perkapalan kontena dan pergerakan dalam EAGA, automasi pelabuhan, serta hala tuju dan inisiatif masa depan untuk pelabuhan, perkapalan dan logistik di Malaysia.

    Ng berkata peserta akan mempelajari mengenai pembangunan pelabuhan dan perspektif perdagangan daripada sektor swasta – Majlis Perniagaan BIMP-EAGA – selain dapat berkumpul dengan profesional yang mempunyai pandangan yang sama untuk tujuan rangkaian.

    “Di samping itu akan ada pameran perdagangan yang diadakan serentak dengan 40 syarikat antarabangsa dan tempatan serta penaja mengetengahkan produk serta perkhidmatan terkini berkaitan pelabuhan dan pengangkutan, selain teknologi terkini untuk pelabuhan, perkapalan dan logistik,” katanya.

    Beliau juga berkata Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar boleh menjadi hab utama pemindahan ke kapal untuk EAGA, dan lokasi strategiknya di sepanjang laluan perkapalan utama perdagangan laut Asia Timur dan pusat wilayah BIMP-EAGA telah menjadikannya sebagai pilihan utama. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...