Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina hubungan budaya melalui penulisan buku

    ATHENS – Sebuah patung beruang teddy berwarna kuning, ditemui dalam tong sampah setengah abad yang lalu, telah menjadi pameran bintang Muzium Mainan Benaki di Athens sejak muzium itu dibuka pada 2017.

    Patung beruang yang merupakan koleksi penting di Eropah yang dikaitkan dengan zaman kanak-kanak, juga telah sampai ke China melalui buku kanak-kanak yang ditulis oleh pendidik dan pengarang Greece, Eleni Geroulanou.

    Dalam temu bual baru-baru ini di muzium, Geroulanou memberitahu Xinhua kesusasteraan mempunyai peranan yang hebat untuk dimainkan dalam membina hubungan. Buku mengingatkan kita betapa kita semua mempunyai persamaan, kerana emosi dan makna yang mendasari cerita hebat adalah sejagat, merentasi budaya dan halangan bahasa, katanya.

    Dalam dongengnya Once upon a time, a bear yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Cina, beruang teddy itu berkeliaran di sekitar bandar untuk mencari rumahnya.

    Dia akhirnya menemui rumah dan keluarga baharu dalam pelukan Maria Argyriadis, seorang penyelidik mainan Greece yang mengambil beruang itu dari tempat pembuangan sampah. Sejak itu, kira-kira 20,000 barangan sedemikian telah dikumpulkan dari seluruh dunia dan didermakan kepada Muzium Benaki, sebuah rumah agam abad ke-19 yang menyerupai istana, di tepi pantai.

    Eleni Geroulanou bergambar dengan buku Once upon a time, a bear di Muzium Mainan Benaki, di Athens, Greece. – Xinhua

    Once upon a time, a bear berdasarkan kisah sebenar Argyriadis dan beruang teddy. Argyriadis meninggal dunia pada 2018, tetapi bertuah melihat muzium itu membuka pintunya pada 2017, dan buku itu dicetak dalam Bahasa Greece.

    “Bagi Maria, beruang ini unik. Bagi beruang itu, Maria adalah keluarganya. Saya tersentuh dengan kisah ini dan saya mahu mendedahkannya kepada umum,” kata penulis.

    Geroulanou berkata minatnya terhadap mainan dan persahabatan keluarganya dengan Argyriadis memberi inspirasi kepadanya untuk menulis buku. Dia belajar Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Athens, melanjutkan pelajarannya di Boston, AS, khusus dalam Pendidikan Muzium Kanak-kanak dan pulang ke tanah air untuk menggabungkan pendidikan muzium dan pengajaran.

    Pada 2019 di Pesta Buku Kanak-Kanak Bologna di Itali, penerbit Greece menunjukkan buku itu kepada penerbit Cina, yang gemar cerita itu dan memutuskan untuk menerbitkannya di China.

    Disebabkan wabak, Geroulanou belum dapat melawat China lagi, tetapi menyatakan tidak sabar untuk untuk bertemu dengan peminatnya.

    Pertukaran budaya amat penting untuk pemahaman yang lebih mendalam antara orang dari daerah yang berbeza, kata Geroulanou. “Melalui pertukaran idea dan cerita, kami mewujudkan ikatan yang lebih kukuh antara satu sama lain, menjadi lebih terinspirasi dan kreatif sambil meluaskan horizon kami,” katanya.

    Beliau berkata Greece dan China kaya budaya dan tradisi sejak dulu lagi dan banyak perkara yang perlu dipelajari antara satu sama lain.

    “Saya berharap pembaca Cina, pembaca muda, menikmati buku saya, kisah saya dan mengembara bersama beruang kami sepanjang perjalanan ini, sehingga dia menemui rumahnya,” kata Geroulanou. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda