Bina jalan raya berasaskan getah

KOTA KINABALU, 9 Julai – Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah memilih Kadamaian di Kota Belud sebagai lokasi untuk memulakan projek rintis pembinaan jalan raya dengan menggunakan teknologi terkini berasaskan getah, kata Menterinya Ewon Benedict.

Beliau berkata projek rintis itu akan melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang dua kilometer dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas agensi terlibat iaitu Lembaga Getah Malaysia; Lembaga Industri Getah Sabah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah; dan pejabat daerah Kota Belud selesai mengadakan perbincangan teknikal.

Ewon berkata pelaksanaan projek rintis berkenaan adalah bukti kerajaan negeri sekarang begitu komited dalam usaha menaik taraf jalan raya di kawasan luar bandar selain berusaha menaikkan harga getah di Sabah bagi membolehkan pekebun kecil getah di negeri ini mendapat harga lebih baik.

“Saya berharap projek rintis pembinaan jalan raya berasaskan getah di Kadamaian ini akan dapat disiapkan menjelang tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan bersama agensi terbabit di bilik mesyuarat kementerian itu di sini, hari ini.

Ewon berkata kementeriannya dimaklumkan pembinaan jalan raya berasaskan getah telah dilaksanakan di beberapa kawasan di Semenanjung dengan terdapat kira-kira 77 kilometer jalan raya menggunakan teknologi itu.

“Pembinaan jalan raya berasaskan getah diperkenalkan (di Sabah) adalah untuk menaik taraf jalan raya di luar bandar (menggunakan teknologi itu) termasuk melihat kemungkinan keperluan menggunakannya dalam menyelenggara jalan-jalan utama di Sabah,” katanya.

Ewon berkata pendekatan menggunakan getah dalam pembinaan jalan raya di Sabah juga dilihat akan menjadi nilai tambah kepada program pembasmian kemiskinan dengan memastikan pekebun kecil getah terus terbela menerusi harga getah lebih stabil. – Bernama