Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina kemahiran penyampaian perniagaan

    Oleh Pg Fairol RMF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-25, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) melaksanakan beberapa bengkel bagi 54 pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS) sejak dua minggu lalu di bawah Program Perusahaan TAIB.

    Dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARE) dan Startup Hub, hari ini, bengkel tersebut menumpukan kepada latihan dan pendidikan peserta dalam membina kemahiran penyampaian perniagaan mereka kepada pelabur-pelabur berpotensi nanti.

    Ia juga memastikan para peserta mempunyai kemahiran dalam membangunkan potensi idea perniagaan mereka.

    Para peserta mengikuti bengkel Hari Inspirasi di D&T Auditorium yang menampilkan pengusaha-pengusaha berjaya iaitu Pemilik dan Pengarah Pemasaran Perusahaan Baba Rafi, Nilam Sari, Pengarah Kreatif Astrea Software Development, Josan Astrid dan Pengasas Catalyst, Shawn Hoon untuk mengongsikan pengalaman kejayaan mereka.

    Ketua Perniagaan Perbankan TAIB, Awang Effendi bin Haji Said ketika ditemui berkata, apa yang mereka inginkan daripada Hari Inspirasi berkenaan adalah untuk memberi para peserta lebih keyakinan dalam perjalanan perniagaan mereka.

    Seramai 54 pengusaha PKS sejak dua minggu lalu dilatih membina perniagaan mereka untuk menjadi sesebuah perniagaan yang berjaya di negara ini.
    Seramai 54 pengusaha PKS sejak dua minggu lalu dilatih membina perniagaan mereka untuk menjadi sesebuah perniagaan yang berjaya di negara ini.
    Nilam Sari menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang pengusaha Baba Rafi sambil memberi inspirasi kepada para peserta.
    Nilam Sari menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang pengusaha Baba Rafi sambil memberi inspirasi kepada para peserta.

    “Bukan sahaja peluang untuk mendengar pengalaman cerita mereka sebagai seorang pengusaha berjaya, bahkan kami harap ia akan memberi lebih buah fikiran yang dapat ditambah ke dalam pelan perniagaan mereka bagi membangun perniagaan kepada yang lebih mampan mengikut situasi pasaran masa kini,” tambahnya.

    Salah seorang peserta yang terpilih mengikuti bengkel berkenaan, Awang Raizah bin Muhd Zaini yang memiliki perniagaan Riz Kitchen memberitahu media, beliau sentiasa mempelajari yang baru setiap masa mengikut pertukaran zaman.

    “Hari Inspirasi dapat membantu saya memahami akan adanya cabaran terutama dalam kegagalan, tetapi apa yang paling penting motivasi diri untuk bangkit semula.

    “Daripada penyampaian oleh Nilam Sari tadi, setentunya saya akan membuat kajian mengenai perniagaan saya selepas bengkel ini nanti,” tambah beliau.

    Program Perusahaan TAIB juga dikenali sebagai T25 bertujuan untuk membantu visi kerajaan mengasuh perusahaan kecil dan sederhana tempatan bagi memastikan kemapanan perniagaan sambil menjana ekonomi negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda