Sunday, December 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina keyakinan diri kanak-kanak Sindrom Down

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Bersempena Bulan Kesedaran Sindrom Down, Kelab Bola Sepak Beechamps dengan kerjasama Persatuan Sindrom Down Brunei (ABLE) mengadakan acara, Kick for Joy yang berlangsung di Futsal Arena, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.

    Acara khas itu bertujuan untuk mencipta pengalaman bola sepak yang menyeronokkan bagi kanak-kanak dengan Sindrom Down.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly di mana acara itu mencerminkan komitmen kementerian kepada keterangkuman sukan untuk semua.

    Kick for Joy dirancang untuk menyediakan persekitaran yang menyeronokkan dan mesra di mana kanak-kanak pelbagai upaya dapat menikmati bola sepak, membina keyakinan diri serta meraih sokongan daripada komuniti.

    Pengasas Kelab Bola Sepak Beechamps, Awang Muhammad Hakimi Abdullah mengongsi bahawa program itu mencerminkan komitmen mereka terhadap kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman dalam bola sepak.

    Beliau berkata setiap kanak-kanak mempunyai potensi unik dan mereka menyokong kanak-kanak istimewa itu dalam menemukan dan membina potensi berkenaan.

    “Ini lebih dari sekadar kemahiran atau latihan, ia adalah tentang mencipta hubungan, membina keyakinan dan membawa senyuman di wajah mereka.”

    Beliau turut menyatakan harapan bahawa usaha itu akan dapat terus dikembangkan bagi memastikan setiap kanak-kanak mempunyai tempat di mana mereka rasa disokong serta diperkasa.

    Haji Mohamad Rosfazilah semasa menghadiri acara berkenaan, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KELAB BOLA SEPAK BEECHAMPS
    Kanak-kanak pelbagai upaya turut serta dalam aktiviti yang diadakan, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KELAB BOLA SEPAK BEECHAMPS
    Acara Kick for Joy sempena Bulan Kesedaran Sindrom Down dihasratkan untuk mencipta pengalaman bermain bola sepak yang menyeronokkan dan membina keyakinan diri kanak-kanak Sindrom Down. – GAMBAR SERAHAN KELAB BOLA SEPAK BEECHAMPS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda