NEW DELHI, 24 Okt – Perkhidmatan Kereta Api milik negara itu merancang untuk meletakkan pagar di sepanjang landasan kereta api seluruh negara bagi mencegah orang ramai masuk secara tidak sah, menurut para pegawai hari ini.
“Ini telah dicadangkan oleh polis kereta api selepas berlakunya kematian seramai 61 orang yang dirempuh kereta api di wilayah utara Punjab tempoh hari ketika menyaksikan sambutan festival keagamaan dari landasan kereta api,” menurut pegawai kanan.
Menurut data perkhidmatan kereta api, kira-kira 50,000 orang telah terkorban di India selepas dirempuh oleh kereta api ketika melintas landasan tersebut antara tahun 2015 dan 2017.
“Sesiapa sahaja yang menghampiri laluan kereta api itu dikira sebagai penceroboh oleh Perkhidmatan Kereta Api India. Polis kereta api juga mengenakan denda kepada penceroboh. Tetapi pagar akan menamatkan insiden yang membawa maut di laluan kereta api,” tambahnya.
Perkhidmatan Kereta Api salah sebuah rangkaian kereta api terbesar dunia yang merentasi negara itu dari utara ke selatan.
Lebih 9,000 kereta api penumpang beroperasi dan membawa hampir 23 juta orang penumpang setiap hari. – Xinhua
