Bincang aktiviti memperkasa generasi muda pengakap

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Muda dan Pengakap Remaja baru-baru ini telah mengadakan mesyuarat tahunan berhubung aktiviti-aktiviti yang bakal diadakan tahun ini bersama para pemimpin pengakap, penolong pemimpin pengakap, pengakap muda dan remaja dari beberapa buah kolej dan sekolah menengah seluruh negara.

Mesyuarat tersebut yang diadakan di Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Jalan Gadong telah dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, dengan dihadiri oleh lebih 30 ahli pengakap muda dan pengakap remaja yang terdiri daripada para pelajar sekolah.

Pada pertemuan itu, Haji Awang Badar menjelaskan bahawa pelbagai aktiviti dan latihan telah dirancang tahun ini, yang memberi sokongan yang lebih baik dan memperkasa generasi muda dalam mengembangkan lagi keupayaan mereka menerusi aktiviti-aktiviti dan latihan yang menyeronokkan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Muda dan Pengakap Remaja, Haji Burhanuddin bin Haji Mohd Daud turut menjelaskan mengenai aktiviti-aktiviti dan latihan yang direncanakan tahun ini termasuklah Kursus Kepimpinan Rondaan, Kursus Kepimpinan Pengakap Remaja dan sebagainya.

Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Pemangku Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap selaku Pesuruhjaya Program Belia, Awang Junaidi bin Haji Husin; Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Perempuan, Hajah Nor Rahmat binti Sidin; Pegawai Eksekutif Pengakap, Awang Zainudin bin Haji Ishak; Pemangku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tutong, ACP (B) Haji Abdul Murad bin Haji Abdul Hadi, Pemangku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Jurkarnain bin Husin dan penolong-penolong pesuruhjaya pengakap daerah Bahagian Pengakap Tunas dan Pengakap Remaja.

Gambar ramai semua yang hadir pada mesyuarat tahunan PPNBD. – Gambar oleh PPNBD