Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Seramai 156 orang peserta telah mengikuti siri perbincangan Leadership Circle Edisi ke-7: Managing Up bersama Faiq Rani anjuran Rangkaian Profesional Muda (YPN) yang telah diadakan secara maya, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan YPN, mentor bagi sesi berkenaan ialah Pegawai Pentadbiran Tingkat I, di Pejabat Menteri, KKBS, Awang Faiq Rani.
Sesi berkenaan meneroka elemen-elemen untuk menggalakkan komunikasi, kerjasama, perkongsian dan persefahaman yang efektif antara orang bawahan dan pemimpin di peringkat yang berlainan, kepelbagaian perspektif dan kemahiran.
Ia juga bertujuan untuk membangun dan mengekalkan hubungan yang sihat dan saling bermanfaat bersama orang atasan; membangunkan situasi produktiviti sama-sama menang dan persekitaran kerja yang positif, dan untuk lebih selesa mengatasi konflik.
Kenyataan menyatakan, pada sesi pertama perbincangan, Faiq berkongsi cara pengurusan peribadi disertai dengan nilai kepimpinan yang tertumpu kepada disiplin diri dan kredibiliti.

Beliau turut membangkitkan perbincangan mengenai kawalan dan tindak balas dalam menangani situasi dengan perlaksanaan keperluan tertentu dan bukannya penghargaan semata-mata.
Dalam pada itu, sesi turut menyaksikan beberapa perbincangan berkisar mengenai peranan kepimpinan sehingga menjurus kepada seorang ketua atau pemimpin.
Di samping itu, para peserta juga berpeluang mengemukakan beberapa soalan tentang bagaimana untuk memotivasikan orang yang mereka pimpin, cara mengurus konflik dan dilema sebagai pemimpin serta cara untuk meningkatkan keberkesanan sebagai seorang pemimpin.
Pengasas bersama YPN Brunei, Dayang Fatin Arifin berkata, YPN adalah platform komuniti yang bertujuan untuk mempromosikan dan memperkasa orang muda Brunei menerusi perangkaian, dialog, mentorship dan advokasi.
“Kami berhasrat untuk sentiasa mencabar anak muda kita supaya berani mengambil bahagian dan tampil ke hadapan untuk menerajui pembangunan dan melalui Leadership
Circle ini, kami mahu menyokong golongan belia untuk melengkapkan diri mereka dengan pemikiran dan kemahiran betul dengan memahami tanggungjawab kepimpinan,” tambah beliau.
Kenyataan menyatakan, sesi perbincangan yang turut disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu merupakan sebahagian daripada inisiatif YPN digelar Leadership Circle yang berfungsi sebagai platform untuk menghimpunkan pemimpin-pemimpin, individu dalam peranan kepimpinan dan mereka yang berjawatan pengurus di seluruh bidang bagi membincangkan wawasan, kekecewaan dan amalan terbaik dalam
kepimpinan.