Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Bincang dengan pemimpin ASEAN jadikan BM bahasa kedua

    KUALA LUMPUR, 23 MAC – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kedua ASEAN, dalam usaha memartabatkan bahasa itu di peringkat antarabangsa.

    Ismail Sabri berkata selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

    “Jadi tiada sebab kita tidak boleh jadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN. Kita akan selaraskan perkara ini dan saya akan bincang dengan pemimpin negara ASEAN yang memang menggunakan Bahasa Melayu, supaya mereka bersetuju jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

    “Selepas itu, kita akan bincang pula dengan pemimpin-pemimpin ASEAN lain yang juga mempunyai penduduk yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di negara mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang ingin tahu adakah kerajaan akan bekerjasama dengan pemimpin negara ASEAN untuk menyelaraskan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat ASEAN.

    Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata pada masa ini hanya empat daripada 10 negara ASEAN yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa, manakala enam negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan.

    Ismail Sabri berkata beliau sendiri telah menggunakan Bahasa Melayu semasa lawatan rasminya ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand sebelum ini, dan terbaharu semasa lawatan ke Vietnam dua hari lepas. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media di Bangunan Parlimen. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...