Bincang dua draf resolusi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini telah menghoskan mesyuarat secara dalam talian iaitu Mesyuarat Ad-hoc Kumpulan Kerja Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang dipengerusikan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Menurut kenyataan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, hari ini, mesyuarat tersebut dihadiri oleh delegasi daripada parlimen-parlimen negara ASEAN dan Sekretariat AIPA.

Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @Sabli bin Haji Arsad selaku ketua delegasi Negara Brunei Darussalam, berserta dengan beberapa orang ahli-ahli MMN.

Hadir bersama pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

Mesyuarat tersebut membincangkan mengenai dua draf resolusi iaitu Pindaan Mengenai Undang-undang AIPA dan Peraturan dan Prosedur Dalam Menganjurkan Perhimpunan Agung AIPA.

Resolusi-resolusi tersebut dibincangkan dan diketengahkan bagi tujuan pengemaskinian, mengkanunkan dan mengatur beberapa peruntukan dalam Undang-undang AIPA yang berkaitan dengan penganjuran Perhimpunan Agung AIPA agar dapat dijadikan sebuah peraturan yang bersistematik dan seragam serta mengadakan sebuah prosedur yang standard untuk dapat dilaksanakan oleh tuan rumah kepada Perhimpunan Agung AIPA setiap tahun.

Draf-draf resolusi kemudiannya dipersetujui untuk diluluskan sepenuhnya di peringkat Perhimpunan Agung AIPA yang akan diadakan pada bulan Ogos tahun ini bertempat di Negara Brunei Darussalam untuk diluluskan nanti semasa Perhimpunan Agung tersebut dengan sebulat suara.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani ketika mempengerusikan Mesyuarat Ad-hoc Kumpulan Kerja AIPA. – Gambar serahan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat