Bincang hal ehwal serantau

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Pelbagai isu mengenai hal ehwal keselamatan di rantau ini telah dibincangkan dalam Dialog Dasar Pertahanan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura kali ke-7 yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, pagi ini.

Hadir mempengerusikan dialog bersama itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah dan Setiausaha Tetap (Pertahanan), Kementerian Pertahanan, Singapura, Chan Yeng Kit.

Dialog tersebut juga dihadiri oleh pegawai-pegawai tentera dan awam dari kedua-dua buah negara.

Semasa dialog berkenaan, kedua-dua pengerusi berpuas hati atas hubungan dua hala yang telah terjalin sejak sekian lama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura malah turut mengesahkan komitmen untuk terus meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala.

Sementara itu pada sebelah petang, Chan Yeng Kit membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir pada kunjungan hormat tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai. Semasa kunjungan hormat tersebut, Menteri Pertahanan Kedua menyatakan dialog tersebut merupakan satu saluran yang sangat baik untuk mempromosikan hubungan pertahanan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Sebagai sebahagian daripada lawatannya ke negara ini, Chan Yeng Kit turut mengadakan kunjungan ke Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di Kampung Tanah Jambu kelmarin yang dialu-alukan oleh Komandan Akademi Pertahanan ABDB, Kolonel Haji Muhd Haszaimi bin Bol Hassan.

Bermula pada tahun 2009, Dialog Dasar Pertahanan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura ini bertujuan untuk memupuk kerjasama pertahanan melalui perbincangan dan perkongsian maklumat di samping menerokai bidang kerjasama praktikal.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menerima kunjungan daripada Chan Yeng Kit.