Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Delegasi Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri telah berangkat ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2023 (PKPSN 2023) dan Mesyuarat Penubuhan Sekretariat Kehakiman Syariah Nusantara, hari ini.
Menurut kenyataan, rombongan delegasi tersebut telah diketuai oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Turut serta ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Johar bin Haji Muhamad selaku pembentang jemputan berserta dua pegawai kanan dari Mahkamah-mahkamah Syariah.
Persidangan yang bertema ‘Memperkasa Bidang Kuasa dan Pentadbiran Mahkamah Rayuan Syariah di Negara Nusantara’ tersebut merupakan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang melibatkan negara-negara Nusantara dari Malaysia yang terdiri daripada Yang Amat Arif/Yang Arif Hakim Rayuan Syariah JKSM, Yang Amat Arif Ketua-ketua Hakim Negeri, Yang Arif Hakim Utama/Rayuan Syariah Negeri, delegasi-delegasi dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.
Menerusi persidangan itu, ia diharap akan dapat mencapai objektif PKPSN 2023 dan Mesyuarat Penubuhan Sekretariat Kehakiman Syariah Nusantara yang diadakan tahun ini, antaranya, memberi tumpuan hasrat JKSM untuk menubuhkan Sekretariat Perundangan dan Kehakiman Syariah Nusantara di kalangan negara Nusantara.
Hal ini bertujuan bagi membincangkan isu-isu kekeluargaan Islam, pentadbiran kehakiman Syariah dan jenayah Syariah serantau dalam membentuk suatu kesepakatan bersama yang bergerak atas dasar syarak, memperkasa kompetensi dan wibawa institusi rayuan Mahkamah Syariah, menyediakan platform kepada institusi tertinggi kehakiman Syariah untuk bertukar-tukar fikiran dan mencari jalan untuk memperkasa Mahkamah Rayuan Syariah.
