Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang inti pati Sambutan Hari Keputeraan di Tutong

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 21 Mac – Mesyuarat pertama Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 bagi Daerah Tutong, tahun 2017 telah diadakan di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong, pagi tadi.

    Mesyuarat dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

    Dalam ucapannya sebelum mesyuarat dijalankan, Pegawai Daerah Tutong menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut adalah bagi membincangkan perancangan dan persediaan acara-acara sambutan perayaan pada tahun ini.

    Beliau juga menyarankan ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat untuk memberikan fokus terhadap inti pati atur cara sambutan supaya ia mampu menarik lebih ramai penyertaan dan pengunjung dan memerlukan membuat perancangan awal dan rapi.

    Beliau seterusnya berharap Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Daerah Tutong akan terus mengenal pasti acara-acara baru yang boleh meningkatkan perpaduan dan penyertaan semua peringkat masyarakat di daerah ini tanpa mengabaikan nilai-nilai konsep Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir.

    Antara ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan bagi Daerah Tutong semasa mesyuarat di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong, kelmarin.
    Antara ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan bagi Daerah Tutong semasa mesyuarat di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong, kelmarin.

    Mesyuarat juga membincangkan cadangan acara-acara sektoral termasuk acara-acara keagamaan, kesukanan dan kemasyarakatan serta Majlis Khatam Al-Quran 71 kali Khatam bagi ahli-ahli majlis perundingan mukim dan majlis perundi-ngan kampung.

    Antara lain tujuan mesyuarat diadakan adalah bagi melantik ahli-ahli jawatankuasa tadbir tertinggi dan pengerusi-pengerusi acara keraian sambutan perayaan bagi Daerah Tutong.

    Hadir sama di mesyuarat tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai kanan jabatan kerajaan cawangan Daerah Tutong dan ahli-ahli jawatankuasa tadbir tertinggi dan pengerusi-pengerusi acara keraian perayaan serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda