Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang isu-isu keselamatan transnasional

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Penutup Persidangan Ketua Polis Negara-negara ASEAN (ASEANAPOL) ke-37 di Republik Singapura, pada 14 September 2017 lalu menandakan lantikan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) sebagai tuan rumah ASEANAPOL ke-38 tahun depan.

    Persidangan tahunan berkenaan, menghimpunkan pasukan-pasukan polis serantau dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa untuk membincangkan isu-isu keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang transnasional.

    Berlangsung dari 12 hingga 14 September di Republik Singapura, persidangan itu telah dianjurkan oleh Pasukan Polis Republik Singapura dan dihadiri oleh perwakilan dari 10 buah negara ASEAN dan Sekretariat ASEANAPOL.

    Persidangan tersebut juga dihadiri oleh lapan rakan dialog yang terdiri daripada Polis

    Persekutuan Australia, Kementerian Keselamatan Awam Republik Rakyat China, Agensi Polis Kebangsaan Republik Korea, Polis New Zealand, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Persekutuan Rusia, ICPO-INTERPOL dan Sekretariat ASEAN.

    Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei menerima cenderahati semasa acara tersebut.
    Gambar ramai bersama perwakilan dari 10 buah negara ASEAN dan Sekretariat ASEANAPOL.

    Selain itu, perwakilan dari lima agensi pemerhati turut hadir iaitu dari Pasukan Polis Fiji, PoliciaNationale de Timor Leste, Agensi Jenayah Kebangsaan United Kingdom, EUROPOL, Persatuan Ketua-ketua Polis Antarabangsa dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

    Delegasi PDB telah diketuai oleh Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam dan disertai oleh Penolong Pesuruhjaya Polis, Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Metali selaku timbalan ketua rombongan dan lapan orang pegawai kanan sebagai timbalan-timbalan pengerusi serta ahli-ahli delegasi persidangan tersebut.

    Dalam Persidangan tersebut, Sistem Pangkalan Data ASEANAPOL-elektronik 2.0 (e-ADS 2.0) telah dilancarkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang Republik Singapura, K. Shanmugam.

    Versi baru ini merangkumi e-perpustakaan, forum perbincangan, kalendar acara dan portal pengumuman. Ini akan membolehkan ahli-ahli ASEANAPOL untuk berkongsi amalan terbaik, trend jenayah dan akan meningkatkan kerjasama dalam bidang operasi dan pembangunan kapasiti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda