Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Bincang isu-isu kontemporari halal

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menerusi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES) hari ini telah mengadakan Perbincangan Meja Bulat mengenai isu-isu kontemporari halal.

    Perbincangan yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Pengiran Babu Raja itu merupakan salah satu acara sampingan Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban ke-6 (SAPPHAT VI) 2023 bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023.

    Dua tajuk telah dibincangkan semasa sesi berkenaan iaitu ‘Daging Kultur Makmal: Penerimaan Masyarakat sebagai Sumber Alternatif Bahan’ yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Mohd Shahril bin Ahmad Razimi dari Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB.

    Manakala itu perbincangan mengenai ’Penggunaan Bone Char dalam Proses Pemutihan Gula: Panduan kepada Pengguna dalam Memilih Gula yang Diedar di Pasaran’ telah dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Nurdeng Deuraseh dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Sesi berkenaan merupakan satu kaedah perbincangan ilmiah dalam kumpulan yang kecil, di mana kesemua peserta menerokai secara dekat tajuk-tajuk yang dibincangkan dan diberi peluang untuk berkongsi maklumat dan perspektif mengenainya.

    Perbincangan Meja Bulat mengenai isu-isu kontemporari halal yang diadakan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Kemajuan Pelancongan

    Kaedah perbincangan seperti ini juga membolehkan peserta untuk menjalin kerjasama dan meluaskan rangkaian serta hubungan antara peserta yang datang dari latar belakang yang berbeza dengan kepakaran yang berlainan dalam bidang masing-masing.

    Hasil daripada perbincangan meja bulat berkenaan akan dirumuskan ke dalam Resolusi SAPPHAT VI 2023 dan dibentangkan semasa Majlis Penutup SAPPHAT VI 2023.

    Peserta-peserta perbincangan terdiri daripada badan-badan pensijilan halal negara-negara MABIMS (Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura), negara-negara serantau dan antarabangsa, agensi-agensi kerajaan dan badan berautoriti yang berkait rapat dengan pensijilan halal, institusi-institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat berhubung kait dengan kerajaan.

    Brunei MYCE 2023 dianjurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, institusi-institusi pendidikan tinggi, pihak berkepentingan.

    Ia juga disokong penuh oleh beberapa rakan media rasmi iaitu Radio Televisyen Brunei (RTB), Jabatan Penerangan (Pelita Brunei) dan Brunei Press Sdn Bhd.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...