BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menerusi Kempen SME 360 Series Sustainable Nation, meneruskan Eco Chat Series dengan ceramah khas yang diadakan bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa, dengan tema Gender Equality Today for a Sustainable Tomorrow.
Di antara ahli panel yang hadir ialah Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman; pengasas Youth for Climate Action Singapura, Nor Lastrina Hamid; Pengarah Urusan Brunei Shell Petroleum (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis; Penyelaras Penyelidikan dan Pembangunan di CIC Environment Services, Amanina Shofry dan Penyokong Alam Sekitar Pelajar, Growth BN, Zoe Chan.
Dalam kenyataan yang diterima dari BIBD, hari ini, perbincangan yang dihadiri kira-kira 200 peserta itu berkisar mengenai isu kemapanan, sementara menyelidiki isu alam sekitar dan kesamaan jantina. Turut hadir selaku tetamu kehormat pada sesi itu ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan dan Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.
Dalam ucapan alu-aluan, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari berkata, “Pelbagai inisiatif dalam kemapanan di Brunei Darussalam di-terajui oleh kaum wanita dan telah berterusan selama 10 tahun atau lebih.
Kami mempunyai wanita dalam pertubuhan bukan kerajaan, kerajaan, korporasi dan akademik, yang berusaha mencapai kemapanan baik dalam bidang teknologi, tenaga, penyelidikan, kerja komuniti mahupun bantuan bencana.”
Beliau menambah, “Apabila membabitkan isu kesukarelawan dan perubahan iklim, kami amat bernasib baik bahawa di Brunei Darussalam, wanita mempunyai peluang sama untuk mengambil bahagian dan aktif tanpa berasa bimbang menerima diskriminasi. Kebanyakan pekerja barisan hadapan dan pelopor komuniti yang memperjuang perubahan iklim dan kemapanan di Brunei Darussalam adalah wanita.”
Selain itu, Hajah Noraini membincang kepentingan pendidikan dan kesedaran dalam agenda kemapanan serta pelbagai program CSR yang dijalan-kan BIBD dalam menyokong pemerkasaan wanita.
Menurut beliau, “Menerusi program BIBD SEED, misalnya, kami memperkasa wanita kurang bernasib baik dengan kemahiran keusahawanan untuk membantu mereka berdikari dari segi kewangan. Demi menyokong mereka berdiri, kami juga memupuk elemen celik kewangan. Harapan kami adalah ia akan membantu wanita di mana mereka boleh menyara keluarga mereka serta menyokong wanita lain.”
Perbincangan itu disokong oleh pelbagai pertubuhan belia serta agensi kerajaan termasuk KKBS dan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei untuk meningkatkan kesedaran pendidikan dan memastikan pencapaian aspirasi dan matlamat 2030 kerajaan serta Net Zero 2050.
Para panel juga membincangkan peluang untuk wanita yang telah pun memegang peranan utama sebagai stakeholder dan pempengaruh di negara, dan bagaimana peranan mereka pada masa sekarang dan masa depan dapat membantu dalam mengubah negara secara mapan.
Ceramah juga memaparkan pelancaran siri dokumentari yang dikeluarkan bersempena Hari Wanita Antarabangsa oleh New Wave Films, dan disokong BIBD dan KKBS. Dokumentari penuh boleh ditonton di laman web BIBD dan Community for Brunei, serta akaun media sosial BIBD. Video 24 minit itu akan memaparkan tokoh wanita serta pemimpin di negara Brunei dan Singapura.