Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah menghoskan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pengangkutan Darat (LTWG) ASEAN ke-32 dan Mesyuarat Kumpulan Kerja Khas Keselamatan Jalan Raya Multi Sektor (MRSSWG) ASEAN ke-14.
JPD juga merupakan tuan rumah bagi mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan iaitu Mesyuarat Subkumpulan Kerja Kereta Api (ARSWG) ASEAN ke-4 dan Mesyuarat Subkumpulan Kerja Lebuh Raya (AHSWG) ASEAN ke-21 yang telah diadakan dari 4 September lalu hingga hari ini, di Hotel Antarabangsa Rizqun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPD, mesyuarat-mesyuarat tersebut merupakan perjumpaan tahunan bertujuan untuk membincangkan agenda-agenda dan langkah-langkah pelaksanaan projek ASEAN yang berkaitan dengan pengangkutan darat yang telah dikenal pasti.
Mesyuarat ASEAN LTWG ke-32 telah dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad dan disertai oleh perwakilan dari negara-negara ASEAN, Sekretariat ASEAN, rakan dialog yang berkenaan dan juga organisasi yang berkaitan.
Delegasi Negara Brunei Darussalam dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut telah diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Pengangkutan Darat dan turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari JPD serta wakil dari Jabatan Jalan Raya (JKR) dan Urus Setia Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).
Antara agenda-agenda yang dibincangkan dalam Mesyuarat ASEAN LTWG ke-32 adalah Implementation of the Land Transport-related Measures under ASEAN Economic Community (AEC) Blueprint and Kuala Lumpur Transport Strategic Plan (KLSTP); Implementation of the Sustainable Transport-related Measures under AEC Blueprint and KLSTP; ASEAN New Initiatives related to Sustainable Transport; LTWG Workplan 2022-2023; dan Transport Cooperation with External Parties.
