HIROSHIMA, 21 MEI – Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menyertai sesi kerja G7 yang dikhaskan untuk membincangkan mengenai konflik di Ukraine yang diadakan di Hiroshima Jepun hari ini, lapor Sputnik.
Sesi kerja itu turut disertai Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida serta ketua Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah.
Sidang Kemuncak G7 diadakan di Hiroshima dari 19 hingga 21 Mei, antara lain menumpukan kepada konflik Ukraine, keselamatan ekonomi, pelaburan hijau dan pembangunan di rantau Indo-Pasifik.
Pemimpin India, Australia, Brazil, Korea Selatan, Vietnam, Indonesia, Comoro, dan Kepulauan Cook telah dipelawa untuk mengambil bahagian, selain ketua tujuh organisasi antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Agensi Berita Korea Selatan Yonhap melaporkan, Presiden Yoon Suk-yeol bersedia bertemu dengan Zelenskyy atas permintaan pihak Ukraine.
Zelenskyy turut dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.
Dalam kejadian berasingan, Presiden Korea Selatan dan Perdana Menteri Jepun bersama-sama mengunjungi Hiroshima Peace Memorial Park untuk memberi penghormatan kepada mangsa pengeboman bom atom Hiroshima 1945, melambangkan komitmen kedua-dua pemimpin itu untuk meningkatkan hubungan dua hala, lapor Yonhap.
Yoon yang tiba di Hiroshima pada Jumaat untuk menghadiri sidang itu, turut meluangkan masa bertemu dengan beberapa mangsa yang terselamat. – Bernama
