Saturday, December 2, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    Bincang kemajuan, peranan belia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Kementerian Sukan, Kerajaan Arab Saudi dengan kerjasama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah menjadi tuan rumah Persidangan Menteri Belia dan Sukan Islam ke-5, bertema ‘Pembangunan Belia dan Sukan untuk Solidariti – Berasaskan Ummah’ yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi, baru-baru ini.

    Persidangan bertujuan agar negara anggota OIC dapat bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan dengan kapasiti belia, kemajuan dan peranan belia dalam membuat keputusan dan penyertaan dalam sukan.

    Ia juga bertujuan meningkatkan dan mempercepatkan kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota OIC, organisasi berkaitan dan institusi dalam pembangunan belia dan sukan.

    Semasa persidangan tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, berkongsi strategi Negara Brunei Darussalam dalam mewujudkan peluang dan memperkasakan pembangunan belia dan sukan.

    Yang Berhormat Dato juga menekankan mengenai kepentingan penyertaan belia dalam pembuatan dasar dan proses membuat keputusan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selain berkongsi usaha Negara Brunei Darussalam dalam melibatkan golongan belia.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menyampaikan ucapan pada persidangan yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi, baru-baru ini. – Gambar serahan KKBS

    Selain itu, Yang Berhormat Dato juga mengatakan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) telah membawa pembangunan teknologi baharu dan mencetus transformasi jenis pekerjaan masa depan, memerlukan pendekatan segera dalam pendedahan dan akses kepada pendidikan serta peningkatan kemahiran (reskilling) dan peluang untuk mengembangkan kemahiran bagi melengkapkan belia siaga masa depan dan kemahiran berkaitan industri yang relevan.

    Di akhir kenyataan, Yang Berhormat Dato menggesa negara-negara anggota OIC supaya bergerak ke hadapan secara kolektif bersama-sama dengan organisasi yang berkaitan dalam hal ehwal belia dan sukan dan segera melaksanakan inisiatif dalam membentuk belia siaga masa depan dan ekosistem sukan yang inklusif dengan memanfaatkan peluang daripada IR 4.0.

    Semasa persidangan tersebut, para menteri dan perwakilan peringkat tertinggi negara-negara anggota OIC yang bertanggungjawab dalam hal ehwal belia dan sukan telah menyokong Resolusi Omnibus Mengenai Belia dan Sukan dan Deklarasi Sesi ke-5 Persidangan Menteri Belia dan Sukan Islam.

    Selain persidangan, Yang Berhormat Dato juga menghadiri sesi jamuan yang telah dihoskan oleh Menteri Sukan, Kerajaan Arab Saudi, Duli Yang Teramat Mulia Putera Abdul Azeez bin Turki Al-Faisal.

    Persidangan tersebut telah dihadiri oleh menteri negara-negara anggota OIC, perwakilan peringkat tinggi dan pertubuhan yang bertanggung-jawab dalam bidang belia dan sukan.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin serta pegawai-pegawai kanan KKBS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS$2.2 juta dilarikan perompak bersenjata

    NEW DELHI, 1 DIS – Perompak bersenjata melarikan 188 juta rupee (AS$2.2 juta) dari sebuah bank di negeri timur laut Manipur yang dilanda keganasan. Rompakan...