Bincang kemanfaatan bersama

LONDON, UNITED KINGDOM, 4 FEB – Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom terus komited mengukuhkan kerjasama sedia ada terutama dalam bidang pertahanan yang dimeterai pada Majlis Perjumpaan Dua Hala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, Tuan Yang Terutama Boris Johnson di No. 10, Downing Street, London, hari ini.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Semasa majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama membincangkan mengenai isu-isu kepentingan bersama seperti pertahanan, perdagangan, perubahan iklim dan hubungan ASEAN-UK serta menyentuh mengenai hal ehwal kerjasama dua hala yang lain antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom.

Pada perjumpaan itu, Baginda Sultan turut berkenan menandatangani perjanjian ‘The Exchange of Letters’ dalam bidang pertahanan bersama TYT Boris Johnson yang mewakili kerajaan British.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menjemput Tuan Yang Terutama untuk mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berkenan menandatangani perjanjian ‘The Exchange of Letters’ bersama TYT Boris Johnson di London. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
Baginda Sultan berkenan bertukar-tukar perjanjian ‘The Exchange of Letters’ bersama TYT Boris Johnson di London. – Gambar oleh Infofoto
Baginda Sultan berkenan bertukar-tukar perjanjian ‘The Exchange of Letters’ bersama TYT Boris Johnson di London. – Gambar oleh Infofoto

Kedua-dua pemimpin berhasrat untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala dan juga terus komited untuk mengukuhkan kerjasama yang sedia ada dan juga bagi masa hadapan serta membincangkan hal-hal lain yang memberikan manfaat kepada kedua-dua buah negara.

Juga hadir dari kerajaan British ialah Penasihat Tentera Perdana Menteri, Tentera Laut Diraja, Kapten Stephen Higham; Penasihat Hal Ehwal Antarabangsa dan Timbalan Penasihat Keselamatan Dalam Negeri Perdana Menteri, David Quarrey CMG; Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam; TYT Richard Lindsay; dan Setiausaha Sulit
(Hal Ehwal Luar Negeri) bagi Perdana Menteri, Tara Soomro.

Turut hadir ke majlis perjumpaan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua) Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua) Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

Kedua-dua buah negara telah sekian lama menjalinkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan pertukaran perjanjian ‘The Exchange of Letters’ tersebut bertujuan memperkuatkan lagi hubungan pertahanan dengan memupuk kerjasama yang erat antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata British dalam bidang kepentingan bersama seperti latihan, bantuan operasi dan bencana, dan perkongsian kepakaran profesional termasuk isu keselamatan.