Bincang kerjasama alam sekitar, isu pencemaran jerebu

SIEM REAP, 9 OKT – Menteri-menteri Alam Sekitar dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bermesyuarat di sini kelmarin bagi membincangkan beberapa isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran jerebu rentas sempadan, lapor agensi berita China Xinhua.

Bercakap pada majlis perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN ke-15 mengenai Alam Sekitar (AMME ke-15) dan mesyuarat berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Kemboja Aun Pornmoniroth berkata ASEAN boleh dianggap sebagai antara rantau paling rawan bencana di dunia.

“Tahun ini, banyak negara ASEAN mengalami kemarau, ribut kencang, banjir dan kebakaran hutan. Oleh itu, isu perubahan iklim dan alam sekitar yang berkaitan bukanlah tanggungjawab sendirian mana-mana negara, sebaliknya adalah masalah dan tanggungjawab bersama kita,” katanya.

“Justeru itu, mesyuarat hari ini adalah satu acara yang penting dan bersejarah bagi ASEAN dan rakan kongsinya untuk mengkaji semula kemajuan serta menerapkan tindakan strategik masa depan ke arah mencapai pembangunan mampan alam sekitar di rantau kita dan juga dunia,” kata Pornmoniroth yang juga Menteri Ekonomi dan Kewangan.

Menteri Alam Sekitar Kemboja Say Samal berkata dunia berdepan cabaran alam sekitar yang semakin meningkat seperti perubahan iklim dan bencana alam.

“Kemarau teruk, kebakaran hutan, ribut dan tanah runtuh yang semakin kerap berlaku adalah petanda-petanda utama. Oleh itu, lebih banyak usaha bersepadu diperlukan bagi memastikan perlindungan alam sekitar dan pembangunan mampan di rantau kita,” katanya.

Semasa perhimpunan dua hari itu, menteri-menteri ASEAN akan terus membincangkan, bertukar-tukar idea dan mengkaji semula kerjasama serantau mengenai beberapa isu alam sekitar, kata Samal sambil menambah bahawa mereka juga akan mencari alternatif baharu untuk terus menggalakkan kerjasama alam sekitar di rantau ini.

Beliau berkata mereka juga akan berbincang mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan yang menjejaskan beberapa negara di rantau ini.

Katanya mesyuarat dwitahunan itu dijangka menerima pakai satu Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim, pencalonan Taman-Taman Warisan ASEAN dan Pelan Strategik ASEAN mengenai Alam Sekitar.

Samal berkata menteri-menteri ASEAN akan turut berinteraksi dengan rakan kongsi dialog iaitu China, Jepun dan Korea Selatan di Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar Campur Tiga ke-16 hari ini. – Bernama