Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang keselamatan pantai timur Sabah

    KOTA KINABALU, 24 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan mesyuarat dua hala pertama dengan Polis Nasional Filipina (PNP) di sini, hari ini bagi membincangkan isu keselamatan di pantai timur Sabah.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata antara isu yang akan dibincangkan pada mesyuarat tiga hari itu adalah tindakan pasukan keselamatan Malaysia memburu penjenayah hingga ke perairan Filipina.

    “Kami akan bincang secara terperinci (gerakan memburu rentas sempadan) pada mesyuarat ini. Pada asasnya, itulah yang telah dipersetujui (oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak), tetapi kami perlu mencari mekanisme sewajarnya untuk melaksanakan perkara itu.

    “Selepas mesyuarat di antara Presiden Duterte dan perdana menteri kita, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ke Filipina pada 21 hingga 23 Disember tahun lepas untuk membincangkan perkara itu dengan rakan sejawatannya di sana.

    “…sejak itulah, kami (Kontinjen Polis Sabah) mengambil inisiatif untuk mengadakan mesyuarat pertama ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat itu.

    Datuk Ramli Din menyampaikan cenderahati kepada Edmund Gonzales selepas mesyuarat dua hala antara Pasukan Polis Marin (PPM) dan Polis Maritim Filipina. – Bernama
    Datuk Ramli Din menyampaikan cenderahati kepada Edmund Gonzales selepas mesyuarat dua hala antara Pasukan Polis Marin (PPM) dan Polis Maritim Filipina. – Bernama

    Ramli berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan rancangan mengenai penubuhan sebuah pasukan penguatkuasaan bersama dan perkongsian maklumat risikan.

    Pada 10 November lepas, Najib berkata dalam mesyuarat dua hala sempena lawatan rasmi presiden Filipina itu ke Malaysia dari 8 hingga 9 November, Duterte memberi kebenaran kepada kapal Malaysia untuk memburu penculik hingga ke kawasan perairan Filipina.

    Dalam perkembangan lain, Ramli berkata PDRM sedang berusaha membawa balik sebuah kapal menangkap ikan berdaftar di Sandakan, yang kini berada di selatan Filipina setelah ia ditemukan tanpa tiga anak kapal warga Indonesia pada 19 Januari lepas.

    “Kami cuba membawa balik kapal itu ke Malaysia semalam.

    Tetapi, disebabkan cuaca buruk dan laut bergelora, kami menunda usaha itu ke hari ini,” katanya.

    Beliau berkata tiada maklumat lanjut diterima daripada nelayan Indonesia berkenaan manakala pasukan keselamatan kedua-dua negara terus bekerjasama untuk mengesan mereka.

    Sementara itu, Pengarah PNP Maritime Group Ketua Penguasa Edmund A. Gonzales menjangkakan mesyuarat untuk membincangkan lebih banyak kerjasama dan rondaan bersepadu akan diadakan tidak lama lagi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda