Monday, November 28, 2022
31.8 C
Brunei

-

Bincang kesihatan mental secara positif

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Sejak sekian lama, topik kesihatan mental telah dielakkan kerana stigma dan kekurangan pengetahuan atau pemahaman tentang isu kompleks yang menyelubungi kesihatan mental.

“Sebagai sebuah masyarakat, kita harus bekerjasama antara satu sama lain untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan kesihatan mental yang baik.
“Komponen penting dalam membina kesedaran ialah mempunyai keupayaan untuk membincangkan kesihatan mental dengan cara yang membantu dan positif.”

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata sedemikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada bengkel berkenaan yang berlangsung secara maya menerusi platform Zoom, pagi tadi.

“Oleh itu, Bengkel bagi Komunikasi Kesihatan Mental bertujuan untuk meningkatkan komunikasi tentang kesihatan mental antara individu dan kumpulan dalam komuniti kita,” ujarnya.

Beliau seterusnya berharap, dengan membolehkan perbincangan positif tentang kesihatan mental, kita semua boleh bekerjasama untuk memudahkan komunikasi dan bagi mencari sokongan yang kita perlukan untuk memperbaiki dan melindungi kesihatan mental kita.

ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan TYT Luke Arnold semasa menyampaikan ucapan pada bengkel yang berlangsung secara maya kelmarin.

Antara yang menyertai bengkel menerusi platform Zoom kelmarin.

“Sememangnya, bercakap tentang kesihatan mental harus datang dengan mudah dan semula jadi seperti bercakap tentang kesihatan fizikal kita,” ujar Yang Berhormat Dato lagi.

Bengkel berkenaan merupakan anjuran bersama antara Kementerian Kesihatan dengan salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terkemuka di Australia, Everymind sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022 yang mana pada tahun ini membawa tema ‘Jadikan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Diri untuk Semua – Keutamaan Global’.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan hadir selaku tetamu kehormat bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold.

TYT Luke Arnold dalam ucapannya pula menyatakan kesihatan mental telah menjadi keutamaan bagi kedua-dua buah negara melalui hubungan dua hala yang telah dilaksanakan sekitar Jun lalu antaranya menerusi lawatan Pusat Panggilan Talian Harapan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan mengadakan dialog bersama beberapa pakar kesihatan mental terkemuka di negara ini.

Jelasnya, salah satu hikmah daripada COVID-19 ialah penularan wabak sekali gus telah menekankan kita akan kepentingan menjaga kesihatan mental bersama-sama dengan kesihatan fizikal.

Begitu juga usaha yang terjalin menerusi kerjasama merentas sempadan negara dalam menangani isu kesihatan secara berkesan.

Dalam pada itu, Tuan Yang Terutama turut berharap Australia dapat bekerjasama dengan Negara Brunei Darus-salam dalam pelan tindakan kesihatan mental kebangsaan yang pertama dan sokongan teguh kerjasama kesihatan mental melalui pembangunan ASEAN berdasarkan Kenyataan Pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur mengenai Kerjasama Kesihatan Mental, satu inisiatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Australia.

Bengkel telah disertai oleh lebih 90 peserta dari pelbagai sektor kerajaan dan swasta, termasuklah pegawai-pegawai kerajaan, pengamal media, pemimpin dan kaunselor sekolah, ahli-ahli perkhidmatan kaunseling swasta, pegawai-pegawai bank, syarikat-syarikat telekomunikasi dan beberapa NGO tempatan.

Pelaksanaan bengkel telah melibatkan beberapa gabungan tenaga kerja Kementerian Kesihatan meliputi Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Bahagian Psikologi Masyarakat dan Psikologi Klinikal, Unit Strategi Kesihatan Mental di Pusat Promosi Kesihatan bersama NGO di Australia berkenaan yang mana melalui salah satu program mereka bertajuk ‘Mindframe’, iaitu program kebangsaan yang menyokong pelaporan media yang selamat, penggambaran dan komunikasi tentang bunuh diri dan kecelaruan mental.

Dapatan daripada perbincangan yang diadakan pada bengkel berkenaan lebih menekankan kepada kepentingan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan ahli keluarga, warga sekolah, tempat kerja dan dalam komuniti untuk mengurangkan stigma dan meningkatkan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan menyeru dan menggalakkan rakyat dan penduduk di negara ini untuk mengutamakan kesihatan mental dan kesejahteraan diri sendiri serta ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan sebagai satu tanggungjawab bersama.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Ratusan bantah sekatan COVID China

BEIJING, 27 NOV – Bantahan terhadap kawalan koronavirus di China yang telah mengurungkan jutaan penduduk di rumah telah merebak ke Shanghai dan bandar lain...
- Advertisment -