Bincang lanjut cadangan buka sempadan

PEKAN, 28 JUN – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menghubungi rakan sejawatannya dari Singapura bagi perbincangan lanjut mengenai cadangan pembukaan pintu sempadan kedua-dua negara menggunakan konsep gelembung perjalanan.

Beliau berkata perbincangannya dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan itu bagi memastikan hujah rasional kedua-dua negara dalam sebarang keputusan dapat difahami rakyat dan tidak menjejaskan keselamatan.

“Saya akan hubungi Menteri Luar Vivan esok atau lusa kerana Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun dah berbincang dengan Perdana Menteri (Singapura) Lee Hsien Loong.

“Jadi ini memerlukan polemik, ini mesti bersandarkan kepada hujah-hujah yang rasional supaya rakyat di kedua-dua belah negara memahami apa yang kita buat ini, lakukan secara bertanggungjawab dan takkan menjejaskan keselamatan dan kedudukan rakyat Singapura dan Malaysia,” katanya.

Hishammuddin, yang juga Ahli Parlimen Sembrong, berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke beberapa perkampungan Orang Asli di Chini, dekat sini hari ini, dalam usaha membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua, kiri) ketika meninjau jeti Tasik Chini di Kampung Gumum pada 28 Jun. – Bernama

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata perbincangannya dengan Vivian itu nanti termasuk mengemukakan cadangan membenarkan hanya empat golongan sahaja dalam perjalanan rentas sempadan seperti ahli perniagaan serta rakyat Malaysia yang berulang alik harian ke Singapura.

Katanya cadangan melaksanakan gelembung perjalanan bersama negara dalam kategori zon hijau perlu dilaksanakan segera, bagi menjana semula ekonomi yang telah sekian lama tertangguh kerana pandemik COVID-19.

Namun beliau memberi jaminan, pelaksanaannya akan mengutamakan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.

Gelembung perjalanan adalah usaha menghubungkan semula negara-negara atau negeri-negeri yang telah mencapai tahap kejayaan yang baik dalam membendung wabak COVID-19 di peringkat domestik.

Pendekatan ini membenarkan kumpulan negara atau negeri menawarkan semula hubungan perdagangan antara satu sama lain, serta memulakan kembali sektor seperti pelancongan dan perjalanan. – Bernama