Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Perwakilan Sekretariat MABIMS Brunei Darussalam, baru-baru ini, telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekretariat MABIMS 2023 yang diadakan pada 5 hingga 7 September lalu di Bogor, Indonesia.
Perwakilan negara disertai oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim selaku Ketua Sekretariat MABIMS Negara Brunei Darussalam dan Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 1, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail selaku Pegawai Sekretariat MABIMS Negara Brunei Darussalam.
Menurut KHEU, mesyuarat dimulakan dengan sesi pembukaan oleh Sekretaris Jenderal Kementerian Agama Republik Indonesia, Profesor Dr H Nizar Ali. M Ag selaku Ketua Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Republik Indonesia.
Mesyuarat itu telah dihadiri oleh empat buah negara anggota MABIMS iaitu Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.
Kehadiran Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat tersebut adalah bagi memenuhi tanggungjawab sebagai salah sebuah anggota dalam MABIMS di samping komitmen negara dalam mendukung semangat bekerjasama khususnya program-program yang berkaitan dengan bidang kerjasama yang disepakati.
Mesyuarat membincangkan tiga kertas laporan iaitu Laporan Perkembangan Projek Kerjasama Penerbitan Tafsir ‘Ilmi (Ayat-Ayat Kauniyyat) MABIMS oleh Brunei Darussalam; Laporan Perkembangan Penyelarasan Draf Memorandum Persefahaman Kerjasama Pensijilan Halal Negara MABIMS oleh Malaysia; dan Laporan Persiapan Pelaksanaan SOM ke-47 dan Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) ke-20 yang akan diadakan pada November depan di Singapura.
Dipengerusikan oleh Ketua Sekretariat MABIMS Republik Indonesia, mesyuarat bertujuan untuk membincangkan Laporan Pelaksanaan Kegiatan Fokus Strategik di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025 oleh negara penyelaras seperti ‘Potensi Belia’ oleh Brunei Darussalam; ‘Kesejahteraan Sosial’ oleh Malaysia, ‘Keharmonian Serantau’ oleh Republik Singapura, dan ‘Pendidikan dan Penghayatan Beragama’ oleh Republik Indonesia.