Bincang peranan belia dalam komuniti dan pembangunan masyarakat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Majlis Belia Brunei (MBB) dengan kerjasama ASEAN Youth Advocates Network (AYAN), semalam, telah mengadakan bengkel secara maya kali ketiga dan terakhir di bawah Forum Belia ASEAN ke-11 dengan tema ‘Siaga Masa Depan dalam Normal Baharu’.

Turut hadir pada forum tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash ‘ari selaku presiden MBB.

Forum dengan tajuk ‘Peranan Belia dalam Komuniti dan Pembangunan Masyarakat’ itu dikendalikan oleh Nadeeya Salleh, peguam dari Negara Brunei Darussalam yang juga merupakan pengarah siri belia di GAIA Alliance.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MBB, forum diikuti dengan perbincangan kumpulan oleh 75 peserta dari 10 buah negara anggota ASEAN yang mengambil bahagian dalam forum tersebut yang juga terbuka kepada pemerhati secara maya.

Para delegasi menghasilkan ASEAN Zine dan ASEAN Youth Statement yang akan dibentangkan semasa Majlis Penutup Forum Belia ASEAN ke-11 pada 27 Ogos depan.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa ketika menghadiri sesi bengkel terakhir di bawah Forum Belia ASEAN ke-11. – Gambar serahan MBB

Semasa forum berkenaan, Hazim Mohamad, warganegara Malaysia yang berpusat di Washington DC, yang kini menjadi penganalisis risiko pasaran di World Bank Group dan pengasas bersama Counselab, berkongsi bahawa pengalamannya menyertai komuniti
ASEAN semasa di universiti telah membantu mewujudkan peluang untuk kerjayanya sekarang.

Beliau juga menekankan kepentingan penglibatan belia dalam pembuatan dasar, terlibat sama dalam komuniti, pertukaran idea dan pengalaman dan kekuatan berkumpul untuk bekerjasama.

Manakala itu, Kynan Tegar, seorang pembikin filem berusia 16 tahun dari Kalimantan, Indonesia, berkongsi kisahnya dalam melindungi Sungai Utik di Kalimantan dan juga karyanya untuk melindungi hak-hak masyarakat peribumi iaitu Iban Dayak melalui pembuatan filem.

Beliau juga mengkongsikan bagaimana seorang belia memiliki kemampuan untuk menyumbang kepada komuniti, walaupun dengan cara yang difikirkan kecil tetapi memberikan impak yang besar.

Penceramah ketiga, Pengasas Jaringan Advokat Belia ASEAN, Filipina, Mirus Ponon menceritakan kisahnya menjalankan kerja-kerja sukarelawan sejak usia sembilan tahun, yang membentuk dirinya kini sebagai penyokong kuat belia dalam komunitinya.
Beliau turut berkongsi tentang pentingnya mempunyai semangat untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan tidak mementingkan diri sendiri.

Sementara itu, David Chua dari National Youth Council, Singapura, berkongsi kepentingan advokasi susulan dengan membuat tindakan.

Beliau juga mengingatkan para peserta bahawa cabaran yang dihadapi semasa pandemik COVID-19 dapat berubah menjadi peluang.

Forum Belia ASEAN dianjurkan oleh MBB dengan kerjasama AYAN dan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Sekretariat ASEAN serta disokong oleh Forum Belia ASEAN (NGO Indonesia) sebagai rakan media.