Saturday, November 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang perkembangan kerjasama kastam

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Pemangku Pengawal, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim bersama-sama pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) telah menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Pengarah Kastam ASEAN ke-33 yang berlangsung di Phu Quoc, Vietnam, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOFE, di sini, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam Vietnam, Nguyen Van Can dan dihadiri oleh 10 buah negara anggota ASEAN, rakan-rakan Dialog ASEAN dan wakil daripada Sekretariat ASEAN.

    Mesyuarat tahunan itu menumpukan kepada pengemaskinian perkembangan dan pencapaian bagi pelaksanaan Pelan-pelan Strategik Pembangunan Kastam (SPCD) 2021-2025 dan ASEAN Single Window.

    Pada 5 Jun lalu, Awang Muhammad Azizil Hakim telah mempengerusikan bersama Konsultasi Kastam ASEAN-China ke-22 dengan Naib Menteri dan CPC Ahli Jawatankuasa Pentadbiran Am Kastam, Republik Rakyat China (GACC), Zhao Zenglian.

    Mesyuarat itu mengambil maklum akan perkembangan perkara-perkara yang berkaitan kastam dan perdagangan ASEAN-China serta membincangkan perkembangan Kerjasama Kastam ASEAN-China dan cadangan bagi kerjasama akan datang.

    Sesi konsultasi juga diadakan bersama Australia, Jepun, Republik Korea dan Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) untuk bertukar-tukar amalan terbaik dan pengalaman mengenai perkara-perkara berkaitan kastam.

    Mesyuarat itu juga mengadakan sesi konsultasi bersama wakil-wakil sektor swasta dari Majlis Peniagaan EU-ASEAN dan Majlis Perniagaan US-ASEAN.

    Selain itu, ia juga menggalakkan penyelaras negara relevan bagi membangunkan kitaran baharu SPCD untuk tempoh 2026-2030 dan bagi hasilnya untuk disampaikan semasa mesyuarat akan datang di mana Negara Brunei Darussalam dijadualkan menghoskan dan mempengerusikan mesyuarat berkenaan kali ke-34 pada 2025.

    Awang Muhammad Azizil Hakim bergambar ramai semasa Mesyuarat Ketua-ketua Pengarah Kastam ASEAN ke-33 yang berlangsung di Phu Quoc, Vietnam, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MOFE
    Awang Muhammad Azizil Hakim semasa menghadiri sesi mesyuarat tersebut. – GAMBAR SERAHAN MOFE

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda