Bincang perkembangan perdagangan EU-ASEAN

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Langkah-langkah pengurangan (mitigation) daripada kesan negatif pandemik COVID-19; dan isu perkembangan hubungan perdagangan antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN merupakan dua perkara utama yang diketengahkan semasa dialog Parlimen Serantau Parlimen Eropah (EP) dan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang dihoskan oleh EP, kelmarin.

Sesi dialog berkenaan dihadiri delegasi daripada parlimen-parlimen negara ASEAN termasuk ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dan delegasi daripada parlimen-parlimen negara Eropah.
Mewakili MMN ialah Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii dan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, di sini, sesi dialog tersebut telah membincangkan mengenai hubungan EP dan AIPA sebagai rakan kongsi yang berpotensi dalam menyumbang ke arah perkembangan hubungan EU dan ASEAN serta langkah strategik dalam mendokong dan menyertai perlaksanaannya.

Kenyataan menyatakan, Negara Brunei Darussalam menghargai hubungan perdagangan antara EU dan ASEAN serta menyokong sepenuhnya perjanjian Comprehensive and Progressive Trans-Pacific Partnership (CPTPP) yang memberikan peluang besar dalam perdagangan dan pelaburan di rantau pasifik dan Eropah.

Brunei Darussalam juga mengambil faedah daripada sumbangan EU dalam menyalurkan kapasiti tenaga manusia. Ini termasuklah pembangunan perkhidmatan online digital dalam meningkatkan pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk lebih konsisten dalam kepelbagaian ekonomi.

Yang Berhormat juga membuat kenyataan tentang kepentingan amalan terbaik berdasarkan ASEAN Rules of Origin agar lebih telus dan teratur dalam memperkembangkan perdagangan di rantau pasifik dan Eropah.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi dan Yang Berhormat Awang Iswandy semasa hadir pada mesyuarat tersebut.