Bincang persediaan pendidikan terkini

BANGKOK, THAILAND, 29 NOV – Tiga mesyuarat berkaitan Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) telah diadakan pada 26 November lalu yang berakhir hari ini di Bangkok, Thailand.

Hadir pada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara kali ke-42 (42nd SEAMEO HOM), Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Dalam Pendidikan kali ke-14 (14th ASEAN SOM-ED) dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Plus Three Dalam Pendidikan kali ke-10 (10th SOM-ED +3) itu ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, SEAMEO HOM merupakan mesyuarat tahunan bagi pegawai-pegawai kanan dari negara-negara ahli SEAMEO untuk melaporkan, membincangkan, dan merancang program, aktiviti dan operasi di bawah organisasi berkenaan.

Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh tetamu kehormat, Menteri Pendidikan Thailand, Tuan Yang Terutama Nataphol Teepsuwan yang antara lain menyentuh mengenai keadaan semasa dunia yang bergerak dengan pantas yang mana perkembangan dalam bidang pendidikan tidak boleh ketinggalan.

Beliau menekankan mengenai pentingnya peruntukan belanjawan yang berpatutan demi memacu inisiatif pendidikan yang diperlukan supaya golongan belia akan lebih bersedia menangani pembangunan ekonomi global yang pesat dan Revolusi Industri 4.0.

Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar ramai semasa menghadiri mesyuarat-mesyuarat berkaitan pendidikan di Bangkok, Thailand.

Tuan Yang Terutama juga menegaskan mengenai kepentingan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan pendidikan.

Semasa mesyuarat berkenaan, negara-negara ahli SEAMEO berpeluang untuk membentangkan perkembangan terkini mengenai pengimplementasian tujuh bidang utama SEAMEO di negara masing-masing.

Tujuh perkara utama tersebut ialah pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak; mengutarakan sekatan terhadap keterangkuman; tidak putus asa berdepan kecemasan; mempromosi pendidikan teknikal dan latihan vokasional, pendidikan guru, pengharmonian dalam pendidikan dan penyelidikan tinggi dan mengadaptasi kurikulum abad ke-21.

Mesyuarat berkenaan antara lain juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari negara-negara ahli SEAMEO, negara-negara ahli associate dan ahli affiliate SEAMEO serta pengarah kesemua 26 Pusat Serantau SEAMEO.

Selain lainnya turut dihadiri para pegawai kanan dari negara-negara ahli ASEAN dan ASEAN Plus Three iaitu China, Jepun dan Korea serta wakil dari rakan-rakan dialog ASEAN iaitu Kanada, Hungary dan Amerika Syarikat.

Semasa mesyuarat-mesyuarat berkenaan, negara-negara ahli ASEAN antara lain membincangkan mengenai dengan kerjasama dalam bidang pendidikan serta mengkaji pelaksanaan inisiatif dan program pendidikan di ASEAN serta negara-negara ASEAN Plus Three.