Bincang respons dasar G20

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, kelmarin, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat G20 ke-2 secara maya bagi mewakili Negara Brunei Darussalam dalam kapasitinya sebagai pengerusi ASEAN (Finance Track) pada 2021.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Hajah Rokiah binti Haji Badar dalam kapasitinya selaku pengerusi ASEAN (Central Bank Track) bagi 2021.

Kenyataan menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi dan Kewangan Itali, Tuan Yang Terutama Daniele Franco dan Gabenor Bank of Italy, Ignazio Visco dan mesyuarat dihadiri oleh menteri-menteri kewangan dan gabenor-gabenor bank pusat daripada ahli G20, ketua-ketua institusi kewangan antarabangsa serta negara-negara jemputan.

Mesyuarat itu membincangkan mengenai respons dasar-dasar G20 kepada cabaran global yang antaranya termasuk menyokong ekonomi-ekonomi paling terdedah, memajukan agenda cukai antarabangsa, meliputi bumi serta mengemaskinikan peraturan kewangan global.

Kenyataan menyatakan bahawa Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan kenyataan yang antara lain mengalu-alukan kemajuan baik dalam kerja-kerja di bawah G20 finance track sejak mesyuarat Februari lalu dan berkongsi pandangan mengenai Pelan Tindakan G20 yang dikemas kini yang mencerminkan komitmen kumpulan berkenaan untuk mengemudi kerjasama antarabangsa ke arah pemulihan dan bersiap sedia bagi dunia pasca COVID-19.

Kenyataan rasmi bagi Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor-gabenor Bank Pusat G20 ke-2 boleh diperoleh di laman sesawang rasmi G20, www.g20.org.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menyertai mesyuarat tersebut. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi