BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), baru-baru ini, telah menghoskan Mesyuarat Konsultasi Persatuan Awam Kebangsaan Brunei bagi Forum ASEAN mengenai Buruh Asing (AFML) ke-10 dengan tema ‘Ke arah Mencapai Kerja Baik bagi Pekerja Domestik di ASEAN’.
Dihadiri oleh perwakilan dari Jabatan Buruh, Kedutaan Republik Indonesia, Kedutaan Filipina serta ketua-ketua persatuan awam dari MKM, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei dan Persatuan Usahawan Muda Brunei, mesyuarat konsultasi berkenaan membincangkan situasi terkini pekerja domestik asing di Brunei terutamanya keadaan pahit getir pekerja domestik dari Indonesia dan Filipina.
Menurut kenyataan MKM, isu-isu dan kebimbangan mengenai perlindungan pekerja domestik asing telah dibangkitkan dan bagaimana standard antarabangsa boleh digunakan ke arah pelaksanaan dasar-dasar dan perkhidmatan sokongan boleh diakses oleh mereka.
Jabatan Buruh telah mengongsikan inisiatif terkini mengenai perasionalan bayaran pengambilan pekerja yang bermatlamat untuk mengurangkan kos mengambil pekerja domestik asing bagi mengurangkan bebanan serta mengeluarkan pekerja domestik daripada belenggu hutang akibat bayaran penempatan yang tinggi.
Majikan kini boleh mengakses maklumat dalam talian mengenai bayaran pengambilan pekerja dari pelbagai agensi pekerja asing supaya mereka akan lebih mengambil maklum bila kos berkenaan didedahkan.
Menurut kenyataan itu lagi, kebimbangan mengenai latihan teratur bagi pekerja domestik mengenai kerja harian rumah, latihan keselamatan termasuk pertolongan cemas, kemahiran komunikasi dan pemahaman budaya juga dibincangkan kerana ia dianggap penting dalam memenuhi jangkaan majikan.
Pengerusi Pasukan Petugas mengenai Pekerja Asing Asian (TFAMW), Sinapan Samydorai telah memudah carakan dialog interaktif di mana cadangan-cadangan bagi mencapai kerja baik bagi pekerja domestik dirangka dan akan dibentangkan pada AFML ke-10 yang akan diadakan pada Oktober 2017 di Manila, Filipina.
Kenyataan menambah, Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim telah mengongsikan komitmen majlis untuk menyediakan akses bantuan perundangan kepada pekerja-pekerja asing yang terdedah menerusi Klinik Perundangan MKM yang telah dilancarkan sejak 8 Mac 2013 sementara itu, Naib Presiden 1 MKM, Dayang Nur Judy binti Abdullah telah membentangkan beberapa aktiviti majlis mengenai buruh asing termasuk gambaran ringkas mengenai penyelidikan majlis mengenai ‘Pematuhan kepada Standard Hak Asasi Wanita: Kes Migrasi Pekerja Domestik dari Filipina dan Indonesia di Brunei’.