Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Bagi mengatur strategi baharu yang lebih efisien dan efektif dalam membentuk kerjasama penduduk setempat untuk membasmi dan mencegah gejala-gejala negatif, sesi muzakarah dan perbincangan bagi Pengawasan Kejiranan (PK) Daerah Temburong telah pun diadakan kelmarin.
Sesi muzakarah tersebut dipengerusikan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Timbalan Penguasa Polis, Pengiran Muhaimin bin Pengiran Haji Mustafa dan turut dihadiri oleh para pegawai dan anggota pangkat rendah Daerah Polis Temburong.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Embran bin Sabtu selaku penghulu Mukim Bokok, para penasihat PK yang terdiri daripada penghulu-penghulu mukim dan wakil pegawai-pegawai kerajaan dari Institusi Mukim dan Kampung Pejabat Daerah Temburong, ketua cawangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Daerah Temburong dan pegawai pemerintah Kompeni E Perkhemahan Bangar.
Perjumpaan berkenaan adalah bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan, kepercayaan serta menanam sikap kepedulian dan tidak camah mata.
Sesi perjumpaan berkenaan, turut menyentuh mengenai statistik yang diperoleh pada tiga bulan kebelakangan berkaitan laporan jenayah dan lalu lintas yang diterima di Balai Polis Bangar.
