Wednesday, February 8, 2023
31.8 C
Brunei

-

Bincang strategi utama struktur AIPA

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Dayang Siti Rozaimeriyanty binti DSLJ Haji Abdul Rahman.

Kunjungan hormat yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis itu telah menyaksikan Yang Berhormat Pehin menyampaikan ucapan tahniah kepada Dayang Siti Rozaimeriyanty atas lantikan beliau sebagai Setiausaha Agung AIPA yang baharu.

Pelantikan berkenaan sejajar dengan Negara Brunei Darussalam mengambil alih giliran untuk menggalas tanggungjawab jawatan sebagai Setiausaha Agung ke-6 bagi Pertubuhan AIPA bermula 1 Januari 2023 selama tiga tahun, yang akan ditempatkan sepenuhnya di Jakarta, Indonesia.

Turut hadir dalam kunjungan hormat berkenaan ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah membincangkan strategi utama struktur AIPA mengenai kewibawaan peranan ketua atau speaker parlimen-parlimen ASEAN berkaitan isu-isu yang telah dipersetujui di Perhimpunan Agung AIPA.

Ini termasuklah dalam menyelesaikan isu-isu serantau yang sentiasa dibangkitkan oleh orang ramai yang disalurkan kepada parlimen masing-masing.

Dayang Siti Rozaimeriyanty akan sentiasa memberi dukungan dan berganding bahu bersama ASEAN dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa.

Selain itu, kedua-dua belah pihak juga telah bertukar-tukar fikiran mengenai kaedah untuk menambah baik organisasi AIPA terutama sekali dalam syarat-syarat kemasukan negara-
negara pemerhati.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin dan Dayang Siti Rozaimeriyanty turut membincangkan mengenai strategi utama struktur AIPA semasa lawatan berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman dan Dayang Siti Rozaimeriyanty bergambar bersama semasa kunjungan berkenaan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas Pesawat Boeing 737, 2 Juruterbang selamat

PERTH, AUSTRALIA, 7 FEB - Dua juruterbang terselamat, hanya cedera ringan selepas pesawat Boeing 737 yang dihantar untuk memadam kebakaran terhempas di Australia, kata...
- Advertisment -