Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Bingkai cermin guna kayu terpakai

    Oleh Amri HTZ

    Cermin memainkan peranan penting dalam kehidupan bagi memastikan penampilan diri dalam keadaan yang terbaik dan terurus.

    Selain bagi melihat imej diri sendiri, ia juga sebagai sandaran bagi mengenakan solekan terutamanya bagi kaum hawa. Kehadirannya dalam sesebuah ruangan juga mampu meningkatkan nilai estetik sekali gus mewujudkan suasana yang tenang dan indah. Namun jika bingkainya terbuat daripada material atau warna yang dirasakan tidak bersesuaian dengan tema sesebuah ruangan, ia setentunya menjadi ‘pengganggu’ untuk ruangan tersebut. Bagi mengelakkan pembaziran, apa kata ubah bingkai cermin dimiliki menjadi sesuatu yang luar biasa.

    Barangan yang diperlukan

    Bagi merubah bingkai asal cermin yang dimiliki, terlebih dahulu awda perlu menyediakan pelbagai barang terbuang (digunakan untuk menghias bingkai cermin), cermin, papan lapis, mesin router, alat penggantung bingkai, mesin gerudi, mesin pemotong kayu, pita pengukur, pensel penanda, angkup vernier, gam kayu dan gam silikon.

    Langkah yang perlu dilakukan

    Bingkai cermin yang akan direka dalam projek ini terdiri daripada barangan terpakai dan terbuang seperti manik kayu, bola pingpong, butang, paku tekan, ring langsir dan potongan kecil kayu pelbagai bentuk. Senarai barangan yang telah dinyatakan bukanlah satu kemestian untuk didapatkan dalam rekaan in, malahan pelbagai lagi barangan seperti bekas minuman dan makanan juga boleh digunakan.

    Papan lapis dengan ketebalan ¾ inci akan digunakan untuk mereka bingkai cermin. Ia dipilih memandangkan proses mereka bingkai cermin akan menjadi mudah dan cepat. Selain penggunaan papan lapis, awda juga boleh merekanya menggunakan kepingan papan yang dicantumkan menjadi satu menggunakan gam.

    Copper wax paste yang telah disapukan pada permukaan rekaan menjadikannya seolah-olah diperbuat daripada tembaga.
    Teknik penyusunan barangan terpakai untuk mengisi ruangan bingkai perlu ditekankan bagi menjadikan rekaan benar-benar unik.
    Antara barang terbuang yang akan digunakan sebagai penghias rekaan.

    Cermin yang disediakan kemudiannya akan diukur besarnya untuk menetapkan ukuran diperlukan bagi proses pemotongan papan lapis. Setelah mendapatkan ukurannya, tambahkan ruangan 3 inci hingga 4 inci pada bahagian keseluruhan sisi untuk ruangan bingkai rekaan. Menggunakan mesin pemotong kayu circular, potong papan tersebut berpandukan ukuran papan yang telah ditandakan.

    Bagi awda yang ingin menggunakan papan sebagai bingkai utama, kepingan papan yang telah tersedia terlebih dahulu perlu dipotong dengan ukuran panjang yang sama.

    Sementara untuk lebarnya pula bukanlah menjadi kepentingan memandangkan rekaan unik ini tidak memerlukan kesempurnaan. Namun, bahagian sisi kayu, yang akan dijadikan permukaan cantuman, perlulah dalam keadaan rata dan bersih agar gam kayu yang disapukan dan mengering nanti kekal kukuh. Setelah meratakan permukaan sisi papan, kepingan kayu tersebut kemudiannya akan dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu. Sapu keseluruhan permukaan cantuman menggunakan gam kemudian cantumkan kesemuanya dengan cara mengekalkan kedudukannya menggunakan gam kayu.

    Lebih banyak kepingan kayu yang dicantumkan dan diberikan tekanan menggunakan pengepit kayu akan menjadikannya mudah bergerak daripada kedudukan. Oleh itu pastikan awda mengepit kayu daripada bahagian atas dan bawah (kedudukan berbalas) keseluruhan cantuman agar kedudukannya ketika gam mengering nanti rata. Apabila gam mengering, bersihkan lebihan gam yang meleleh menggunakan pahat kayu. Selepas itu, tandakan ruangan lebih kurang 3 inci hingga ke 4 inci pada bahagian keempat-empat sisi bingkai untuk menempatkan pelbagai barangan terpakai nanti. Bagi keseluruhan ruangan dalam, awda boleh meloreknya menggunakan mesin router untuk menempatkan cermin dengan kedalaman bersesuaian ketebalan cermin digunakan. Langkah ini juga perlu dilakukan oleh mereka yang menggunakan papan lapis sebagai bingkai utama cermin.

    Selain dengan cara meloreknya, jika dirasakan sukar dilakukan atau tidak memiliki mesin disebutkan, awda boleh menggunakan empat keping papan untuk dijadikan bingkai tambahan. Tujuannya direka adalah untuk menyembunyikan kedudukan cermin agar rekaan nampak lebih kemas.

    Ruangan sisi bingkai cermin pada langkah seterusnya akan diisikan dengan barangan terpakai yang telah dikumpulkan. Di sini kreativiti tersendiri memainkan peranan penting ketika awda menyu-sunkannya. Apa yang penting, teknik menyusunkan barangan tersebut perlulah menitikberatkan pengisian keseluruhan ruangan tanpa meninggalkan ruangan yang terlalu ketara (tanpa sebarang barangan). Dengan langkah ini, ia kan menjadikan bingkai tersebut terlalu ‘sibuk’ dan penuh dengan barangan sekali gus menjadikannya unik.

    Menempatkan barangan pada permukaan bingkai boleh menggunakan pelbagai teknik mengikut barangan dipilih. Jika barang yang akan dijadikan perhiasan tersebut terbuat daripada kayu, awda bolehlah menetapkannya menggunakan gam kayu disokong dengan kokot. Manakala bagi yang terbuat daripada plastik, batu, kaca atau besi, awda boleh menggunakan hot glue (hot-melt adhesive) atau gam silikon.

    Hot glue yang digunakan perlulah yang berkualiti agar barangan yang dilekatkan tidak mudah tertanggal. Penggunaan cara ini amat mudah dan cepat serta boleh ditanggalkan semula jika susunan perhiasan dirasakan tidak sesuai. Sementara bagi penggunaan gam silikon, walaupun masa untuk mengering agak lama, namun barangan yang dilekatkan akan kukuh dan tidak mudah tertanggal. Menggunakan gam silikon sebagai pelekat memerlukan awda bekerja pada permukaan rata agar perhiasan yang diletakkan kekal pada kedudukan.

    Apabila proses melekatkan perhiasan telah dilakukan, berikan masa untuk gam mengering terutama penggunaan bahan pelekat selain daripada hot glue. Setelah pasti ia mengering, bingkai tersebut bolehlah diwarnakan dengan cat sesuai minat atau tema sesebuah ruangan kediaman. Projek ini akan mewarnakan permukaan seperti warna tembaga bagi meniru rupa sesuatu rekaan zaman dahulu seolah-olah ia telah berusia.

    Mula-mula semburkan cat berwarna hitam pada keseluruhan permukaan rekaan sekurang-kurangnya dua lapisan. Biarkan mengering selama sejam sebelum menyapukan permukaan bingkai dengan copper wax paste. Di sinilah keajaiban akan berlaku di mana awda perlu menyapukan pada permukaan yang timbul (bahagian bingkai berhias) menggunakan pes tersebut. Celup salah satu jari awda ke dalam pes tersebut dan gosok pada permukaan bingkai berhias dengan perlahan. Pastikan awda tidak menyapukan keseluruhan permukaan sehingga menutupi warna hitam yang akan menjadikan efek tersebut gagal.

    Bagi memastikan permukaan rekaan mengekalkan warnanya, keseluruhan permukaan disemburkan dengan cat berwarna clear. Selain menimbulkan lagi warna dasar, ia juga berfungsi melindungi permukaan daripada kelembapan dan kekotoran. Lebih kurang dua lapisan cat diperlukan dengan memberikan setiap lapisan masa untuk mengering sebelum memberikan lapisan seterusnya.

    Langkah terakhir ialah menempatkan cermin pada bahagian dalam rekaan. Penggunaan gam silikon amat disarankan untuk mengekalkan kedudukan cermin dan memastikan ia kukuh pada tempatnya. Setelah itu awda boleh menempatkan penggantung bingkai pada bahagian belakang rekaan untuk meletakkannya pada ruangan dinding yang ingin dihiasi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...