Bingkai gambar ‘berisi’ kenangan

Oleh Amri HTZ

DUDUK bekerja dalam pejabat setiap hari memandang susunan kertas kerja yang perlu diselesaikan setentunya sesuatu yang memenatkan. Meja kerja yang hanya dipenuhi dengan peralatan untuk bekerja perlu diselitkan dengan sesuatu hiasan yang mampu ‘merehatkan’ diri daripada tekanan kerja.

Memilih sesuatu perhiasan yang ‘menenangkan’ selain cantik untuk pandangan mata memerlukan kreativiti tersendiri. Ikuti langkah di bawah ini untuk mereka perhiasan ‘berisi kenangan’ yang mudah untuk dilakukan.

Barangan yang diperlukan

Bagi mereka bingkai gambar yang di dalamnya terdapat bahagian-bahagian tumbuhan terpilih, anda perlu menyediakan bingkai gambar dengan dua kaca, bahagian tumbuhan yang dipilih, playar pemotong, mesin pencetak gambar, acuan penekan tumbuhan (plant press), gam, gunting dan penyepit kecil (tweezer).

Jika anda memilih untuk mereka sendiri bingkai gambar dan ‘plant press’ tersebut, barangan yang diperlukan ialah nat dan bolt (empat biji berpasangan), papan lapis, kayu, dua keping kaca berukuran 12 inci x 6 inci, gam kayu serta pemotong kayu.

Barangan yang diperlukan untuk mereka bingkai gambar dihiasi dengan tumbuhan.
‘Plant press’ yang terbuat daripada papan lapis.

Tumbuhan-tumbuhan yang telah dikepit menggunakan ‘plant press’ akan dimasukkan ke bahagian tengah kaca bingkai gambar.

Proses rekaan bingkai unik

Bagi seseorang yang begitu minat dengan tumbuh-tumbuhan, mereka merasakan dengan kehadiran tumbuhan di sekeliling mereka baik sebagai tanaman mahupun sebagai perhiasan mampu memberikan ketenangan ketika memandangnya. Jika anda kurang meminati tumbuhan untuk dijadikan perhiasan dalam bingkai gambar ini, pilih barangan lain yang disukai dengan menggantikan tumbuhan dengan sesuatu yang anda inginkan.

Pada langkah pertama pembuatan, cari dan pilih bahagian tumbuhan yang diinginkan. tumbuhan yang dipilih perlulah terdiri daripada tumbuhan yang mengambil tempoh yang lama untuk mengering. Ini adalah bagi memastikan tumbuhan tersebut nanti mampu mengekalkan warnanya ketika di dalam bingkai gambar. Menggunakan tumbuhan yang tidak cepat mengering atau berubah bukanlah sesuatu kemestian memandangkan ia tertakluk kepada minat tersendiri.

Setelah mendapatkan bahagian tumbuhan yang dipilih dengan cara memotongnya menjadi bahagian-bahagian kecil, letakkan ia ke dalam ‘plant press’ dan kuncikan (bolt dan nat) dengan ketat. Ini adalah bagi memastikan bahagian tumbuhan tersebut menjadi rata seperti kepingan kertas. Biarkan tumbuhan dalam ‘plant press’ lebih kurang tiga hingga ke tujuh hari.

Jika anda tidak memiliki ‘plant press,’ anda hanya perlu merekanya dengan beberapa langkah mudah dengan menggunakan dua keping papan lapis berukuran 12 inci x 12 inci. Keempat-empat sudut hujung papan lapis perlu ditebuk menggunakan gerudi di mana lubang yang direka ini akan dipasangkan dengan nat dan bolt. Setelah itu anda hanya perlu meletakkan tumbuhan pada bahagian dalam papan lapis yang berfungsi untuk mengepit tumbuhan seperti sandwic.

Manakala bagi bingkai gambar pula, potongkan kayu yang disediakan menjadi ukuran 1 inci lebar dengan sudut potongan 45 darjah. Potong dua batang kayu berukuran 12 inci dan dua batang kayu berukuran 6 inci. Pada ruangan bahagian belakang kayu bingkai tersebut, perlu dibuat ruangan untuk menempatkan kaca menggunakan mesin router dengan lebar lebih kurang ½ inci dengan kedalaman 0.5mm. Cantumkan keseluruhan bingkai tersebut menggunakan gam kayu dan pengepit kayu dan biarkan gam mengering selama 24 jam.

Langkah seterusnya mencetak gambar pilihan anda menggunakan mesin pencetak. Setelah mencetaknya, lekatkan gambar tersebut pada kepingan kaca bingkai bahagian belakang disertai dengan tumbuhan yang telah digunakan pada ‘plant press.’ Susunan gambar dan tempat meletakkan tumbuhan amat penting pada langkah ini yang memerlukan kreativiti tersendiri. Setelah itu, gam setiap kepingan gambar dan tumbuhan menggunakan gam berwarna jernih bagi memastikan ia tidak terlalu ketara.

Apabila gam telah mengering, kini anda hanya perlu memasangkan kaca bingkai bahagian depan dan menguncinya ke dalam bingkai tersebut. Bagi memberikan efek yang lebih hebat dan penuh bermakna bagi ‘ketenangan’ diri anda, gunakan tumbuhan atau barangan yang bermakna untuk diri anda sama ada hadiah daripada seseorang yang penting bagi diri anda, mahupun seseorang yang anda cintai!