Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Bintang legenda Tina Turner meninggal dunia

    Penyanyi legenda, Tina Turner, 83, yang terkenal dengan lagu What’s Love Got to Do With It, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kusnacht, Zurich, Switzerland, akibat penyakit yang lama dideritai, semalam.

    Berita sedih itu dikongsi pengurusnya kepada media, lapor AP.

    Pada 2016, mendiang Turner dilaporkan menghidap kanser usus dan menjalani pemindahan ginjal atau buah pinggang pada 2017, lapor agensi.

    Jurucakap mendiang dilapor menyebut majlis pengebumian akan diadakan secara tertutup dengan dihadiri keluarga dan rakan terdekat Turner.

    Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai tarikh dan lokasi upacara itu diadakan tidak didedahkan.

    Turner dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kusnacht, Zurich, Switzerland, akibat penyakit yang lama dideritai, semalam. – Agensi

    Pemergian Turner turut diumumkan pengurusnya di Instagram (IG) rasmi mendiang.

    “Dengan penuh rasa sedih, kami mengumumkan pemergian Tina Turner. Dengan muzik dan minat yang tidak terbatas, Tina berjaya memukau jutaan peminat di seluruh dunia.

    “Beliau juga memberi inspirasi kepada mereka yang bakal bergelar bintang.

    “Hari ini, kami ingin mengucapkan selamat jalan kepada sahabat tersayang yang meninggalkan kami dengan hasil kerja dan muziknya. Tina, kami akan merindui kamu,” kata entri berkenaan.

    Sejak 1994, mendiang Turner menjadikan Switzerland sebagai tempat tinggalnya. Selepas 27 tahun menjalin hubungan dengan eksekutif muzik, Erwin Bach, penyanyi digelar Ratu Rock itu mengambil keputusan mengahwini teman lelakinya itu pada majlis sivil di Lake Zurich, Kusnacht, pada 2013.

    Turner atau nama sebenar, Anna Mae Bullock mencipta populariti melalui gandingan bersama bekas suami, Ike Turner pada era 1950an hingga 1970an, sebelum bergerak solo hingga mencetuskan fenomena pada era 1980an dengan gaya nyanyian dan imej ‘superstar’ tersendiri.

    Ketika hayatnya, Turner yang meraih lapan anugerah Grammy pada era 1980an, melalui pelbagai episod hitam termasuk dakwaan didera bekas suami mendiang Ike, namun, bangkit menjadi antara ikon wanita dalam industri muzik dengan kejayaan satu persatu.

    Banyak lagu dirakam mendiang Turner menduduki senarai lagu hit seperti Typical Male, The Best, Private Dancer dan Better Be Good To Me.

    Selain itu, imej seksi, rambut ‘mengerbang’ dan sepasang kaki yang cantik hingga dikatakan mendapatkan perlindungan insurans, sering dikaitkan dengan Turner. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...