Bintang muda blues menyerlah

SOUTHAMPTON, 7 OKT – Tammy Abraham dan Mason Mount meraikan panggilan ke pasukan kebangsaan England dengan membantu Chelsea menang 4-1 mengatasi pasukan bergelut, Southampton hari ini.

Abraham, Mount dan rakan sepasukan Blues, Fikayo Tomori semuanya dinamakan pengurus England, Gareth Southgate dalam skuad untuk kelayakan Euro 2020 di Republik Czech dan Bulgaria.

Tiga pemain muda itu mencuri tumpuan sekali lagi di St Mary’s ketika Abraham dan Mount menjaringkan gol untuk mengekalkan permulaan hebat mereka musim ini.

Abraham sudah menjaringkan sembilan gol dalam semua kejohanan buat Chelsea musim ini, memberikan sebab kenapa Southgate berminat mendapatkan khidmatnya dalam saingan kompetitif bagi memastikan dia boleh bersama England.

Pemain berusia 22 tahun itu sudah memenangi dua kaps buat England dalam saingan persahabatan berdepan Brazil dan Jerman pada 2017 namun dia boleh menukar kerakyatan kepada Nigeria menerusi bapanya.

Rembatan gol Mason Mount (tiga kiri) ketika menentang Southampton dalam aksi Liga Perdana di Stadium St Mary, kelmarin. – AFP

Tomori, 21, juga boleh mewakili Nigeria, tetapi pertahan tengah itu menunjukkan kehebatannya buat England dengan persembahan baik untuk menyekat Southampton. Mount, 20, menjaringkan gol kedua Chelsea untuk sekali lagi menunjukkan naluri pemusnahnya.

Danny Ings menjaringkan satu gol buat Southampton, namun N’Golo Kante dan Michy Batshuayi turut meledak bagi menjadikan empat kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan buat Chelsea, yang mula menyerlah pada musim pertama di bawah kendalian Frank Lampard.

Sementara itu, Frank Lampard menegaskan Chelsea masih perlu meningkatkan prestasi selepas pemain muda mereka meraikan kejayaan disenarai dalam skuad kebangsaan England dengan kemenangan ke atas Southampton itu.

Kemenangan menyaksikan Chelsea mendaki ke tangga kelima Liga Perdana menuju rehat antarabangsa yang tidak boleh dilupakan buat ketiga-tiga pemain muda berbakat berkenaan.

“Saya gembira kami berada dalam kelompok teratas. Jelas Liverpool agak jauh di kedudukan mereka ketika ini tetapi ia masih awal dan kami berada dalam posisi yang baik,” kata Lampard. – AFP