Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Sejak pengumuman penularan COVID-19 dalam komuniti di Negara Brunei Darussalam pada 7 Ogos lalu, Bintang Search telah meneroka cara untuk terus menghiburkan keluarga di rumah sambil menyesuaikan diri dengan sekatan COVID-19 semasa yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Minggu ini, Bintang Search memperkenalkan Bintang Search Edisi Teranah di Rumah, sebuah rancangan realiti nyanyian di rumah untuk menghiburkan para penonton sementara mereka digalakkan untuk duduk di rumah.
Penyesuaian Bintang Search 2021 itu mencerminkan fleksibiliti dan inovasi yang diperlukan dalam bidang pembuatan kandungan. Bintang Search Edisi Teranah di Rumah tidak akan menggantikan rancangan penyingkiran mingguan dan konsert di OOPs!.
Edisi istimewa itu adalah program sementara ketika sekatan dilaksanakan dan apabila ditarik balik, penyingkiran Bintang Search minggu kedua dan Konsert TOP 12 akan disambung.
Peserta, juri dan hos rancangan merakam persembahan mereka di kediaman masing-masing tanpa hubungan fizikal antara satu sama lain. Semua persiapan untuk persembahan seperti latihan vokal juga dilakukan dalam talian di bawah bimbingan kreatif pasukan produksi Bintang Search.
“Syarikat media di seluruh dunia mesti menyesuaikan diri di bawah protokol COVID-19.
Kami melihat peluang untuk melancarkan edisi Teranah di Rumah dan mengelakkan gangguan pekerjaan kru produksi sambil terus menghiburkan orang ramai dengan kandungan buatan tempatan,” jelas pengasas rancangan tersebut, Dayang Siti Kamaluddin.
Sementara itu, hos Bintang Search, Fatin Feisal pula mengulas, “Apabila saya mendapat panggilan daripada pasukan Bintang Search mengenai edisi ini, saya sangat teruja.
Rasanya akan menjadi janggal apabila tampil tanpa Ian (Zulkifli) secara fizikal di sebelah saya tetapi saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang inovatif ini.”
Salah seorang peserta Bintang Search, Qasrina Taruna pula menyatakan, “Saya gembira mengetahui bahawa kami masih dapat terus menyanyi dan membuat persembahan untuk penonton dan pengundi kami. Saya sangat merindui keluarga Bintang jadi saya gembira kami dapat bekerjasama lagi walaupun dengan penjarakan fizikal. “
Salah seorang juri, Rizal Rasid berkata, perubahan tersebut selalu membuatkannya teruja dan kemampuan menyesuaikan diri adalah apa yang ingin dicapai dalam industri kreatif dan beliau berbangga menjadi sebahagian daripada rancangan berkenaan. Beliau turut menyeru agar semua orang bersama-sama memainkan peranan dalam memerangi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.