Bintang tenis dijangkiti COVID-19 mohon maaf

MELBOURNE, 22 JAN – Seorang pemain tenis Sepanyol telah memohon maaf setelah menyelar peraturan kuarantin di Terbuka Australia, beberapa hari sebelum diuji positif COVID-19.

Pemain nombor 67 dunia, Paula Badosa mengatakan bahawa dia memahami situasi yang menyedihkan itu dan memohon maaf.

Pemain berusia 23 tahun itu adalah antara bintang tenis yang mengadu tentang peraturan kuarantin menjelang kejohanan, yang ditangguhkan selama tiga minggu kerana wabak itu.

Tiga dari 17 penerbangan carter yang membawa pemain ke negara itu bebas virus dan seramai 72 pemain di dalamnya termasuk Badosa dikuarantin di bilik hotel selama 14 hari.

Pemain dalam penerbangan lain dibenarkan keluar selama lima jam sehari, untuk berlatih dalam kawalan yang ketat.

Gambar fail pada 5 Oktober lalu menunjukkan aksi Paula Badosa dari Sepanyol ketika menentang pemain Jerman, Laura Siegemund semasa perlawanan pusingan keempat kejohanan tenis Terbuka Perancis di Stadium Roland Garros. Badosa yang berada di Melbourne mengatakan bahawa dia positif COVID-19. – AP

Banyak peserta, termasuk pemain nombor satu dunia Novak Djokovic mengadu dengan peraturan kuarantin.

Keluhan para pemain itu menimbulkan reaksi dari media Australia, ahli politik dan warganet, yang kebanyakannya marah untuk mempertahankan tindakan pengasingan diri yang ketat berkenaan.

Minggu ini, Badosa mengatakan di Twitter bahawa, menurut pemahamannya “hanya orang yang duduk berdekatan dengan kes positif perlu dikuarantin, bukan keseluruhan pesawat.”

“Tidak adil untuk mengubah peraturan pada saat akhir dan dipaksa tinggal di bilik tanpa jendela dan udara.”

Tetapi semalam, tujuh hari selepas dikuarantin, Badosa menjadi pemain wanita pertama yang disahkan positif.

“Saya mempunyai berita buruk, saya menerima ujian positif COVID-19. Saya merasa tidak sihat dan mengalami beberapa gejala.,” katanya di Twitter.

“Kesihatan akan selalu diutamakan dan saya merasa selamat berada di Australia. Langkah-langkah kuarantin dan pencegahan sangat penting sekarang.” – AFP